Berita

Janji manis wakil rakyat BN Pensiangan naik taraf jalan 10 tahun lalu belum kesampaian…

Bayangkan diri anda seorang Pegawai Perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman sedang dalam perjalanan membawa seorang pesakit asma ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

Malangnya, laluan yang menghubungkan anda dan jalan utama terputus akibat hakisan sungai dan anda terpaksa menunggu bantuan sampai. Malangnya, pesakit itu akhirnya meninggal dunia tanpa mendapatkan rawatan wajar.

Begitulah pengalaman pahit yang terpaksa dilalui seorang Pegawai Perubatan yang berkhidmat di Klinik Kesihatan Pensiangan lima tahun lalu sebagaimana diceritakan wakil penduduk kepada aktivis DAP di sini.

Sehingga kini, kejadian laluan jalan yang menghubungkan beberapa kampung ke Pekan Pensiangan dan kawasan sekitar terputus akibat hakisan sungai bukan perkara asing.

Hujan lebat juga sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan membuatkan laluan tersebut tidak dapat dilalui oleh mana-mana kenderaan.

Namun, itulah realiti yang terpaksa dihadapi sebahagian warga di sini sejak sekian kalinya apabila wakil rakyat PBRS – Barisan Nasional (BN) gagal menyelesaikan masalah infrastruktur asas kawasan itu.

Isu yang berlaku baru-baru ini telah menjadi tular di media sosial selepas DAP Pensiangan memuat naik kenyataan kenyataan mengenai keadaan jalan dan kawasan sekitar yang daif dan bahaya.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang dalam kenyataannya berkata, BN telah menabur janji kosong untuk menaiktaraf dan membina jalan menghubungkan Sapulut Pensiangan dan Sapulut Salong sejak PRU12.

“Sudah 10 tahun tapi masih tiada tindakan. Apakah BN mahu rakyat kita menderita? Berapa lamakah ini berterusan?

“Kami kagum dengan semua perbelanjaan mewah untuk projek mega oleh Najib dan kerajaan BN tetapi BN tidak dapat membina jalan yang baik untuk menghubungkan kawasan luar bandar di Sabah.

“Ini merupakan satu ‘jenayah’ pengabaian oleh kerajaan BN yang gagal menunaikan kewajipannya kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Bagi merubah situasi tersebut, Adrian menyeru supaya rakyat tidak lagi memberi kepercayaan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pakatan Harapan adalah platform terbaik untuk menggantikan BN dengan Tawaran Baru dalam Manifesto Sabah, banyak isu yang dihadapi oleh rakyat boleh diselesaikan” katanya yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah merangkap Ketua Penerangan Pakatan Harapan Sabah. – Roketkini.com