Berita

DAP sedia bantu kerajaan basmi gangguan seksual

DAP bersedia untuk membantu kerajaan dalam merangka undang-undang berkenaan gangguan seksual, kata Pengerusi Biro Buruh DAP, A. Sivanesan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, ini kerana kerajaan perlu menjalankan kajian mendalam mengenai perkara tersebut.

“Kami di DAP, pemimpin kesatuan sekerja dan ramai aktivis masyarakat telah lama memperjuangkan isu ini sejak 1990an lagi.

“Kita ada Akta Kerja 1955 untuk menjayakan usaha membasmi gangguan seksual tetapi ia tidak memberikan kesan kerana tiada impak perundangan,” katanya kepada Roketkini.

Baru-baru ini, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dipetik sebagai berkata, kerajaan sedang menimbang untuk merangka undang-undang berkenaan gangguan seksual.

“Saya diminta untuk melihat secara serius (cadangan) Akta Gangguan Seksual.

“(Menteri Belia dan Sukan) Khairy (Jamaludin) beritahu saya ia adalah antara yang disebut golongan belia.

“Mungkin perlakuan menghendap (stalk) akan dimasukkan (dalam akta) juga,” kata Rohani yang turut mengesahkan kementeriannya telah menyiapkan rangka bagi cadangan Akta Kesaksamaan Gender.

Mengulas lanjut, Sivanesan yang juga pengamal undang-undang berkata, pihaknya hairan mengapa kerajaan tidak boleh menukar kod yang terdapat dalam akta berkenaan ke dalam undang-undang.

“Akta Kerja 1955 mempunyai beberapa kod yang bertujuan menghalang gangguan seksual di negara ini.

“Jenayah gangguan seksual juga menjadi suatu kesalahan yang sukar dibuktikan oleh kerana mereka yang terlibat tidak terlatih dalam siasatan,” ujar beliau lagi. – Roketkini.com