Berita

DAP mahu kerajaan kuatkuasa undang-undang halang jual arak murah

DAP hari ini menyeru kerajaan supaya menguatkuasakan Peraturan-peraturan Makanan 1985 (Pindaan 2016) yang telah ditangguhkan semula pada 2017 bagi mengekang gejala penjualan arak murah yang semakin berleluasa.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, kerajaan telah meminda bagi mengetatkan peraturan penjualan arak murah pada 2016 setelah dibangkitkan sejak 2015 bersama pertubuhan masyarakat sivil Malaysian Anti-Cheap Liquor Movement.

“Dua tahun selepas pindaan larangan menjual arak murah, peraturan tersebut masih belum dikuatkuasakan lagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pindaan tersebut merangkumi larangan menjual arak kepada mereka yang di bawah umur 21 tahun, sebatian minuman keras (compounded hard liquor) tidak boleh dijual dalam botol selain kaca dan kurang daripada 700 ml.

“Pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara sehingga dua tahun. Kerajaan juga telah berjanji bahawa larangan baru bagi penjualan alkohol ini akan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2017.

“Semua usaha ini adalah untuk menanangi gejala arak murah yang boleh dibeli dengan mudah di kedai runcit, dan kedai ubat sekalipun dalam botol kecil 150 ml dengan harga serendah RM5,” katanya.

Malangnya, pada November 2017, kerajaan telah mengeluarkan arahan menangguhkan penguatkuasaan peraturan baru tersebut tanpa diberikan tarikh baru untuk penguatkuasaan.

“Kerajaan juga gagal memberikan sebarang sebab ke atas penangguhan tersebut,” ujar beliau.

Timbalan Jurucakap, Jawatankuasa Parlimen DAP untuk Sumber Manusia itu berkata, tinjauan menunjukkan bahawa ada lebih kurang 200 jenama arak murah yang dijual di seluruh Malaysia.

“Ada antara arak murah berjenama seperti ‘Vodka Oren, Apple, Laici, Sarsi’ yang jelas bertujuan menarik perhatian anak-anak muda termasuk remaja dengan nama-nama yang begitu jinak sedangkan arak murah ini bukan sahaja merbahayakan kesihatan malah boleh membawa maut!

“Paling teruk lagi, ada sesetengah arak murah dilabelkan sebagai “ubat” dan dijual di kedai ubat,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa Menteri Kesihatan Dr. S. Subramaniam supaya memberikan maklumbalas kepada Parlimen dan seluruh rakyat Malaysia mengenai penangguhan penguatkuasaan peraturan baru penjualan arak tersebut. – Roketkini.com