Berita

Hutang syarikat kroni boleh pula tangguh, hutang PTPTN dipaksa bayar segera

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming hari ini menyindir dasar double standard yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengenai pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan.

Menurutnya, kerajaan memberi kelonggaran penangguhan pembayaran pinjaman sehingga 10 tahun kepada syarikat kroni namun hanya mengehadkan kepada tempoh 36 bulan sahaja kepada peminjam PTPTN.

“Pelajar-pelajar yang tidak dapat mencari pekerjaan dibenarkan menangguhkan pembayaran balik selama 3 tahun (tempoh maksimum).

“Tetapi jika untuk sebuah syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian berbilion ringgit akibat daripada rasuah dan kronisme, ia boleh diberikan penangguhan pinjaman selama 10 tahun! Barisan Nasional boleh!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kerajaan telah membenarkan penangguhan yang jauh lebih panjang untuk pembayaran balik pinjaman kepada syarikat tertentu yang disebabkan oleh kronisme dan rasuah.

Beliau mengambil contoh bagaimana pada tahun 2007, kerajaan memberi ‘soft loan’ sebanyak RM4.6 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) untuk membiayai perjanjian PKFZ yang penuh skandal.

“Pembayaran ansuran penuh pinjaman ini ditangguhkan hingga ke 2011 tetapi pada tahun 2011, PKA tidak berkemampuan untuk memulakan pembayaran ansuran penuh.

“Pada tahun 2013, kabinet telah memutuskan untuk memberi satu lagi ‘grace period’ kepada PKA selama 4 tahun lagi dan membenarkan PKA untuk memulakan pembayaran balik pinjaman ini hanya pada tahun 2018.

“Pada keseluruhannya, PKA dibenarkan untuk menangguhkan pembayarannya selama 10 tahun akibat dari skandal PKFZ,” katanya.

Cadangan pembayaran PTPTN berdasarkan pendapatan ditentang BN

Kian Ming menegaskan, cadangan Pakatan Harapan untuk membolehkan siswazah mula membayar balik pinjaman PTPTN apabila pendapatan mereka mencapai RM4,000 sebulan bukan sesuatu yang baru.

Dasar yang dikenali sebagai pinjaman pendidikan berasaskan pendapatan itu merupakan salah satu dasar yang dijanjikan dalam Lonjakan 5 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025.

Dasar ini katanya telah dijelaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pelancaran pelan tersebut pada tahun 2015.

Beliau turut mengulas kritikan pengerusi PTPTN dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengkritik cadangan pembayaran semula berasaskan pendapatan ini sebagai tidak realistik dan tidak bertanggungjawab.

“Pinjaman pendidikan berasaskan pendapatan kini diamalkan di Australia di mana pelajar-pelajar hanya mula membayar balik pinjaman mereka apabila pendapatan tahunan mereka melebihi AUS$54,000 (atau AUS$4,500 sebulan),” ujar Kian Ming.

Langkah Australia melaksanakan dasar tersebut berjaya kerana bayaran balik pinjaman secara automatik ditolak daripada gaji peminjam yang telah melebihi jumlah pendapatan minimum yang ditetapkan.

Selain itu, pembayaran pinjaman pendidikan di negara tersebut juga dikira berasaskan tahap pendapatan (semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi peratus bayaran balik dan ini memastikan pihak yang memberi pinjaman menikmati kedudukan kewangan yang mapan).

“Pakatan Harapan yakin bahawa dasar ini boleh dilaksanakan dengan baik, kerana gaji graduan baharu akan meningkat di bawah kerajaan yang bersih dan telus dan kadar pembayaran balik juga akan meningkat di kalangan mereka yang mencapai pendapatan RM4,000 sebulan dan ke atas,” katanya lagi. – Roketkini.com