Rencana

Mendobrak Kubu Selatan Barisan Nasional

Parlimen Ayer Hitam, Johor; barangkali adalah cerminan terbaik bagaimana negara kini terbelah dua. Disandang menteri MCA, Datuk Wee Ka Siong; Ayer Hitam dibahagi kepada hanya dua kawasan DUN – Yong Peng dan Semarang.

Dalam Pilihanraya Umum ke-13 lalu, Yong Peng dimenangi oleh wakil DAP, Chew Peck Choo dengan majoriti 2,475 undi daripada penyandangnya Lim Kee Moi yang sebelum itu menang dengan majoriti hampir sama – 2,493 undi.

Di Semarang pula, PAS ternyata tidak mampu menewaskan penyandangnya, Datuk Samsolbari Jamari yang menang dengan majoriti bertambah hampir seribu undi, berbanding PRU ke-12 dahulu.

Lima tahun sudah berlalu. Calon PAS dalam PRU lalu, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw sudah tidak lagi bersama parti itu yang kini sudah terpecah dua (mungkin tiga). UMNO Bahagian Ayer Hitam juga sudah terpecah dua. Bekas pemimpin utamanya kini bersama Pakatan Harapan dalam PPBM. Dinamik dan lanskap politik Ayer Hitam sudah jauh berbeza.

Terletak betul-betul sebelah lebuhraya, Ayer Hitam sewajarnya menjadi pusat ekonomi utama di persimpangan dua pekan besar Kluang dan Batu Pahat. Malangnya, di tangan menteri MCA, kawasan ini tidak banyak membangun. Kalau pun ada, barangkali hanya berpusat di Yong Peng, yang terkenal dengan industri pembuatan seramik.

Semarang, yang dikuasai UMNO; seakan diabaikan. Rumah-rumah kedai di simpang utama pekannya menjadi pusat kedai-kedai karpet milik warga asing, selain beberapa kedai perabot dan hiasan rumah. Tidak ada pusat beli belah, tiada pawagam, tidak pusat rekreasi, tiada kemajuan yang signifikan.

“Budak-budak sini ramai kerja kilang paip, atau kilang Claytan, buat pinggan,” ujar Shah, anak muda tempatan yang sempat saya temui.

“Hujung minggu merempit di ‘highway’. Malam-malam duduk rumah, kalau JDT ada game, baru turun Larkin. Sini tak ada apa. Nak dating, pergi Kluang. Nak shopping, pergi Batu Pahat,” tambahnya, kecewa.

Shah membawa saya keliling Semarang, melalui hampir semua kampung dan parit; melihat sendiri bagaimana UMNO dan Barisan Nasional telah mengabaikan kawasan tersebut yang dikira sudah cukup puas hati dengan kehidupan kampung yang mereka ada.

Pun begitu, isu utama di sana, seperti juga di seluruh negara; masih lagi kenaikan kos sara hidup dan masalah pekerjaan. Harga makanan sudah meningkat setaraf harga di Kuala Lumpur. Papan tanda harga di kedai-kedai bertampal-tampal dengan angka harga baharu. Menjadi isyarat kekerapan harga makanan berubah-ubah.

Namun, di beberapa buah parit, bendera UMNO kelihatan berkibar tinggi, ditemani beberapa bendera PAS.

“Itu sebab kami pacak bendera Bersatu. Kalau tak, tak naik bendera UMNO,” ujar Shah yang kini giat berkempen untuk parti yang baru disertainya.

Sistem parit di Johor memperlihatkan sistem perumahan yang berjarak-jarak. Maksudnya dari satu rumah ke satu rumah, boleh tahan jauh juga. Dari satu parit ke parit yang lain, lebih jauh lagi. Isyarat telefon tidak begitu bagus, lampu jalan serupa tak ada. Sebatu, satu. Itu pun kalau menyala.

Penduduknya hidup dengan hasil kerja kampung. Ramai daripadanya bekerja di ladang sawit, meski Ayer Hitam tidak ada tanah rancangan Felda. Hasil sawit dijual kepada jabatan pertanian yang bepengkalan 20 minit hala ke Kluang.

Pendeknya Ayer Hitam, DUN Semarang terutamanya, tidak ada apa. UMNO begitu selesa di kawasan yang boleh diabaikan ini. Lima tahun sekali buat program pun tak apa. Asalkan UMNO, Melayu. Barangkali tidak perasan lambang dacing yang dipangkahnya itu meletakkan seorang menteri MCA di Parlimen. Menteri yang tidak bawa apa-apa faedah kepada pengundinya di kawasan totok UMNO itu.

Ombak perubahan

Tersepit antara dua kawasan yang dimenangi pembangkang pada PRU lalu (Kluang dan Batu Pahat), MCA Ayer Hitam sebenarnya cukup beruntung kerana masih dibiarkan bernafas.

Hanya masa bakal menentukan sama ada Wee Ka Siong akan mampu mempertahankan kubunya itu, apatah lagi apabila kubunya itu akan didobrak ombak perubahan dari Kluang, apabila strategis DAP Liew Chin Tong bakal melanggarnya di sana.

Ahli Parlimen Kluang itu barangkali antara pemimpin DAP paling hati kering. Ketika mendengar khabar beliau mahu ke Ayer Hitam dan bertanding di kawasan majoriti Melayu itu, saya sejujurnya menuduh beliau sudah hilang akal.

“Pada malam sebelum hari mengundi pada PRU ke-13, saya minta pembantu saya maklumkan kalau ada ‘traffic jam’ masuk ke Kluang,” ujarnya dalam forum pertemuan anak Johor di perantauan, di Kuala Lumpur sehari selepas saya selesai misi merasa denyut nadi Ayer Hitam.

“Kalau jalan sesak, itu tandanya saya akan menang di Kluang.”

Chin Tong ternyata menang di Kluang, menewaskan Datuk Dr Hou Kok Chung dengan majoriti 7,359 undi. Pengundi Kluang balik kampung berbondong-bondong membawa badai perubahan. Sebelum itu, Chin Tong turut mencipta sejarah dengan memenangi Parlimen Bukit Bendera, di Pulau Pinang dengan jumlah majoriti yang sama menewaskan Lim Kit Siang di kawasan tersebut beberapa penggal sebelumnya.

Si pemberani ini kini mahu mencabar menteri MCA, di kawasan majoriti Melayu; dengan bacaan jelas bahawa jika beliau boleh menang di Ayer Hitam, Pakatan Harapan akan dapat menawan Putrajaya.

“Asalkan pengundi luar balik mengundi,” katanya.

PRU14 kali ini adalah perlawanan kalah-mati buat Pakatan Harapan, khususnya parti Tun Dr Mahathir yang kini berada di saf paling depan menggempur kubu UMNO-Barisan Nasional. Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq; sudah giat membina angkatan tenteranya di Muar, sementara mantan Menteri Besar Johor merangkap mantan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengepalai batalion HARAPAN negeri.

Gagasan PPBM-DAP bersama rakan-rakan PKR dan Amanah di kerusi-kerusi utama Johor ternyata akan membuat United Malays National Organisation goyang segoyang-goyangnya. Ini bukan takat tsunami Melayu lagi. Angin ribut bakal bertiup dari arah Selatan. Semoga Malaysia tidak ketinggalan lagi menunggang angin perubahan ini. – Roketkini.com