Berita

Kem Kesihatan DAP Cameron Highlands dapat sambutan hangat komuniti Orang Asli

Sekitar 250 masyarakat Orang Asli dari Pos Titom dan Pos Lenjang, Cameron Highlands mendapatkan rawatan percuma di Kem Kesihatan anjuran DAP Cameron Highlands dengan kerjasama Impian Malaysia dan persatuan Federation of Private Medical Practitioners’ Associations of Malaysia (FPMPAM).

Kem Kesihatan yang dijalankan pada 9 hingga 11 Mac 2018 itu bertujuan bagi membolehkan komuniti di sini mendapat pembelaan sewajarnya memandangkan khidmat oleh doktor kerajaan hanya dijalankan sekali dalam tempoh sebulan.

Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, M. Manogaran

Mengetuai program itu, Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, M. Manogaran berkata, seramai tujuh orang doktor yang terdiri daripada Pakar Sakit Puan, Pakar Kulit, Pakar Tulang, empat doktor umum, dua ahli farmasi dan sembilan graduan ijazah perubatan terlibat memberi sumbangan kepada masyarakat di sini.

“Dalam kem kesihatan yang dianjurkan ini, kita melihat isu kesihatan masyarakat Orang Asli agak membimbangkan.

“Di Pos Titom misalnya, kita dapati penduduk banyak mengalami masalah kulit dan pergigian. Jadi, bersama kita sepasukan doktor dan pakar hadir memberi khidmat kesihatan secara percuma kepada penduduk,” katanya kepada Roketkini.

Menurut beliau, tahap kesihatan penduduk yang rendah di sini merupakan bukti pengabaian kerajaan BN terhadap masyarakat Orang Asli Semai.

“Saya melihat penduduk merasa amat berpuas hati dengan kehadiran kita. Bila saya bertanya, mereka minta kita datang lagi buat aktiviti seperti ini.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tok Batin yang memberi kerjasama menyediakan ruang.

“Tidak lupa juga kepada seluruh pasukan doktor yang amat berdedikasi membantu masyarakat di sini,” katanya lagi. – Roketkini.com