Berita

CUEPACS sekarang tidak sama dengan zaman Ahmad Nor

Biro Buruh DAP hari ini menzahirkan rasa kesal di atas kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda yang mendakwa kononnya pembangkang cuba menabur fitnah kepada penjawat awam ekoran wujudnya tekanan untuk tidak mengundi selain daripada BN.

“Saya cukup terkilan dengan kenyataan Azih yang menuduh pembangkang cuba untuk menabur fitnah ke atas penjawat awam dan seolah-olah mencampuri urusan kerajaan serta mahu mengajak penjawat awam ke kancah politik,” kata Naib Pengerusi Biro Buruh DAP Amran Ahmad Nor.

Beliau juga turut kecewa dengan tindakan Azih yang mempertahankan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman sebelum ini agar menghargai kerajaan sedia ada.

“Pesan saya yang juga bekas pemimpin kesatuan sekerja (NUJ Malaysia), baliklah kepada perjuangan asal yang sepatutnya membela, mempertahan serta menjaga kebajikan ahli-ahli tanpa ada kompromi atau rasa ‘terhutang budi’ dengan mengembalikan roh kesatuan sekerja ke dalam CUEPACS.

“CUEPACS seharusnya bergandingan dengan Biro Buruh DAP untuk menyelesaikan kemelut yang ada setelah wujudnya aduan daripada para guru mengenai cubaan yang berniat untuk menakut-nakutkan mereka untuk tidak mengundi selain daripada BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu itu, Biro Buruh DAP sanggup mengadakan pertemuan dengan CUEPACS bagi membincangkan hal-hal penjawat awam di negara ini memandangkan wujud beberapa perkara yang tidak berani dibangkitkan CUEPACS kepada kerajaan.

“Apa yang pasti, CUEPACS yang ada hari ini sama sekali tidak seperti CUEPACS yang pernah dipimpin oleh arwah bapa saya, Ahmad Nor.

“CUEPACS yang dahulunya cukup digeruni oleh semua pihak terutama kerajaan tetapi saya kurang pasti siapa CUEPACS di mata kerajaan hari ini,” katanya lagi. – Roketkini.com