Berita

Persempadanan pilihan raya: Parlimen tidak boleh jadi ‘rubber stamp’ kata Lim Kit siang

DAP mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa pilihan Parlimen dibentuk bagi mengkaji dan meneliti draf cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika dibentangkan Khamis ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, draf tersebut mesti diberi cukup masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk diteliti sebelum pengundian dijalankan.

Beliau turut mengingatkan Parlimen supaya tidak menjadi ‘rubber stamp’ dengan meluluskan draf tersebut secara terburu-buru.

“Parlimen tak boleh menjadi rubber stamp. Ia perlu diberi masa untuk meneliti laporan dan mengkaji serta mengambil keputusan.

“Saya cadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas Parlimen (PSC) dibentuk untuk mengkaji laporan SPR sebelum buat undian.

“Jawatankuasa itu sepatutnya diberi sekurang-kurangnya empat minggu untuk meneliti cadangan tersebut,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.

Tindak tanduk kerajaan yang dilihat cuba ‘memaksa’cadangan itu dibentangkan di Parlimen sebagai mengejutkan dan penghinaan kepada dewan yang mulia.

“SPR memperuntukkan sedikit masa menyediakan laporan mengenai persempadanan semula tetapi kajian semula tidak dijalankan mengikut Perlembagaan.

“Di Selangor, masih ada kira-kira 200 penandatangan petisyen yang memohon membantah SPR masih belum dipanggil supaya kes mereka didengar,” katanya lagi. – Roketkini.com