Berita

Aktivis Bersih Shanghai kembali ke tanah air, sertai DAP

Kecewa dengan suasana politik, rasuah yang berleluasa dan persekitaran ekonomi yang lembab menjadi pendorong kepada aktivis masyarakat sivil, Chew Chong Sin, 45, untuk menceburkan diri dalam politik.

Pengumuman penyertaan aktivis itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP sebentar tadi.

Menurutnya, latar belakang dan pengalaman Chong Sin dalam bidang profesional dan aktivisme masyarakat sivil selama ini mampu memberi sumbangan besar kepada DAP.

Bercakap kepada media, Chong Sin yang merupakan anak kelahiran Kluang, Johor itu mengakui hanya melalui wadah politik mampu memberi impak yang lebih besar dalam usaha mereformasi institusi di negara ini.

Chew Chong Sin

“Politik adalah mengenai menjaga perut rakyat, ia adalah mengenai pendapatan dan tempat berlindung, politik adalah tentang kehidupan rakyat jelata.

“Lihatlah keadaan negara kita sekarang, Suruhanjaya Pencegahan Rakyat Malaysia (SPRM) tidak boleh menyiasat skandal 1MDB, polis pula tidak dapat menangkap ‘pencuri’, MO1 tidak ditangkap, kerajaan menggadaikan tanah, 40 peratus peruntukan kerajaan ‘dikaut’, keadaan keselamatan di jalan raya gagal, kemudahan ambulan tidak mencukupi dan banyak lagi; ini bukan Malaysia yang dibanggakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP sebentar tadi.

Kecenderungannya dalam politik dan kemasyarakatan dapat dilihat ketika aktif dalam Bersih Shanghai dan ketika memegang jawatan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Hak Asasi Sivil, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur – Selangor (KLSCAH).

Chong Sin mendapat pendidikan menengah di Sekolah Sultan Abdul Jalil dan Sekolah Tinggi Kluang.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh ijazah dalam bidang Pengurusan Kewangan sebelum bekerja dalam institusi perbankan dan berhijrah ke Shanghai bersama keluarganya selama 10 tahun.

“Kini saya telah kembali ke tanah air dengan hasrat untuk membawa pembangunan sosial dan ekonomi kepada kampung halaman tercinta ini dan berharap ramai yang boleh mengikut jejak langkah saya ini,” kata beliau.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah; Felo Penang Institute, Wong Chin Huat; Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin; Naib Presiden KLSCAH, Stanley Yeo; dan Pengerusi Sayap Pemuda KLSCAH, Lee Wai Hong. – Roketkini.com