Berita

Biasalah MCA, mana dia faham kehendak dan keperluan rakyat

Entah kenapa Ti Lian Ker gigih mencari perkataan ‘Cina’ dalam manifesto Pakatan Harapan. Barangkali kerana tidak ada kerja lain selain mencari salah DAP demi kekal relevan dalam parti yang hidup segan mati tak mahu itu.

“Adalah amat memalukan bagi MCA, yang walaupun berada dalam Kabinet, tidak mampu membawa perubahan kepada kaum yang kononnya ia wakili,” kata Pembantu Setiausaha Publisi DAPSY, Muhammad Shakir Ameer.

Shakir, dalam kenyataannya memberi serangan padu terhadap kritikan Ti Lian Ker yang mendakwa bahawa perkata ‘Cina’ hanya disebut beberapa kali sahaja dalam manifesto Pakatan Harapan, yang baru dilancarkan.

“Kalau MCA mengandaikan tahap komitmen kepada masyarakat Cina diukur berdasarkan berapa kali perkataan ‘Cina’ muncul dalam manifesto, mungkin masanya tiba untuk mereka jadi pembangkang.

“Walaupun berada di dalam kerajaan, mereka tak ada common sense” ujar Shakir yang juga Ahli Majlis MBSA.

“Mungkin MCA patut dengar cakap Chua Soi Lek dan tidak menerima lantikan Kabinet supaya menjadi parti yang berkesan dan relevan,” tegasnya.

Manifesto Pakatan Harapan menawarkan demikian banyak penambahbaikan bagi seluruh komuniti, termasuk penambahbaikan Kampung Baru dan kampung nelayan, selain pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke universiti tempatan.

“Ini pun MCA tidak boleh usahakan walaupun mereka menganggotai kerajaan.”

Menurut Shakir, sudah memang lumrah untuk mengkritik manifesto pihak lawan tetapi biarlah kritikan itu bersifat konstruktif.

“Ini hanya menunjukkan bahawa MCA tidak matang, terputus dan tidak memahami sentimen masyarakat.

“Mungkin mereka lebih memahami rakan-rakan niaga di China berbanding komuniti Cina tempatan yang kononnya mereka wakili,” tegas Shakir lagi.

Manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan 8 Mac lalu dirangka berasaskan impian dan isi hati seluruh rakyat Malaysia.

10 perkara berikut akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari HARAPAN mengambil alih pentadbiran:

  1. Menghapuskan GST dan mengambil langkah mengurangkan kos sara hidup.
  2. Perkenal semula subsidi minyak bersasar bagi menstabilkan semula harga petrol.
  3. Menghapuskan hutang peneroka Felda.
  4. Memperkenalkan KWSP untuk suri rumah.
  5. Sama rata dan tingkatkan kadar gaji minima di seluruh negara.
  6. Mengurangkan beban PTPTN. Melaksanakan penanguhan pembayaran individu berpendapatan bawah RM4,000 dan menghapuskan dasar senarai hitam.
  7. Menyelesaikan skandal utama. Membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja membabitkan skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji. Reformasi organisasi kerajaan.
  8. Menghormati hak Sabah dan Sarawak. Mewujudkan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963.
  9. Skim Peduli Sihat, dana sehingga RM500 bagi golongan B40 untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.
  10. Semak semula kelulusan projek mega. Wujudkan semakan semula projek yang diberi kepada negara asing.

Buku HARAPAN ini boleh dibaca dan dimuat turun melalui pautan http://pakatanharapan.com.my/ . – Roketkini.com