Berita

DAP lancar tabung gempur Parlimen Ayer Hitam

Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) menawan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Ayer Hitam, Johor merupakan petunjuk penting kemenangan HARAPAN mengambil alih Putrajaya kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, pengumuman DAP menurunkan Liew Chin Tong di kubu kuat MCA yang diwakili Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong baru-baru ini bukanlah pertembungan antara dua personality sebaliknya perlawanan antara BN dan rakyat.

“Kalau Liew Chin Tong menang, Pakatan akan menang Putrajaya. Kita takkan menang Putrajaya kalau kerusi seperti Ayer Hitam (kubu MCA) tidak dimenangi.

“Ini bukan perlawanan peribadi antara dua personaliti. Ini adalah perlawanan untuk masa depan Malaysia di mana BN mendokong dasar-dasar merugikan rakyat seperti GST, skandal dan sebagainya.

“Oleh sebab itu, kita hantar general DAP supaya dapat memastikan masa depan dapat dimenangi. Kerana kalau tak menang Ayer hitam, kita berkemungkinan tak menang di Putrajaya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP sebentar tadi.

Guan Eng berkata demikian ketika melancarkan tabung kempen gerakan Selamatkan Malaysia khusus bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menaruh keyakinan terhadap gelombang kesedaran rakyat Malaysia khususnya daripada masyarakat Melayu yang semakin jijik dengan dasar-dasar yang menekan rakyat.

“Beliau (Chin Tong) sedia membuktikan hujahnya bertanding di kawasan bahaya sebagai satu contoh kepimpinan melalui tauladan.

“Satu contoh beliau yakin tentang gelombang ini yang akan bukan sahaja menghanyutkan BN tapi pada masa yang sama menyelamatkan Malaysia.

“Kita perlukan perubahan dan sokongan daripada BN kepada PH di kalangan orang Melayu. Jika tidak, keadaan (negara) akan semakin sukar,” katanya lagi.

Mereka yang mahu menyumbang boleh terus melakukan transaksi melalui akaun bank berikut:

Bank: Public Bank, No Akaun: 3101109707 (DAP Johore State Committee) atau melalui laman web: https://campaign.ubah.my/product/the-battle-of-ayer-hitam/