Berita

Pulau Pinang tidak goyang dengan perang poster BN

Ribuan poster mengecam pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kelihatan ditampal dan digantung di sekitar negeri itu semalam memberi isyarat bahawa Barisan Nasional sedang benar-benar terdesak.

Mengulas perang poster terbabit, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa kempen tersebut terhasil daripada lebihan dana pilihanraya yang tidak habis pada pilihanraya lalu dan menasihatkan penyokong Pakatan Harapan agar berjaga-jaga.

“Mereka masih ada banyak duit daripada 1MDB yang tidak dibelanjakan. Mereka sedang memulakan kempen jahat dengan menggunakan poster, iklan surat khabar dan media sosial.

“Pimpinan, anggota dan penyokong DAP serta Pakatan Harapan tidak boleh memandang rendah keazaman mereka untuk merampas kembali Pulau Pinang,” ujar beliau di laman Facebook rasminya.

Pun begitu katanya, DAP akan terus menjalankan kempen secara bersih dengan memaparkan prestasi sepanjang sepuluh tahun lalu, dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Jangan buat kotor

Dalam kenyataan media rasmi beliau pula, Exco Kerajaan Negeri itu menasihatkan pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow agar menjaga imej bersih Pulau Pinang dan tidak menampal poster secara bersepah.

“Semua poster ini telah mencacatkan imej negeri dan alam sekitar. Sebahagiannya menjadi bahaya kepada penunggang kenderaan dan merosakkan harta benda awam.

“Memang membazir sumber apabila menggunakan begitu banyak kertas untuk kempen terhadap Ketua Menteri ini,” ujarnya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan telah dikerah untuk membersihkan sampah terbabit.

“Kalau Teng Chang Yeow mahu meneruskan kempen poster ini, pihak PBT mungkin tidak akan membersihkannya lagi. Biarlah ia dilihat oleh orang ramai sehingga Teng Chang Yeow naik malu sehingga terpaksa membersihkannya sendiri,” tegasnya. – Roketkini.com