Berita

Takkanlah Teng Chang Yeow tak tahu minta permit MBPP?

Pengakuan Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow bahawa perbuatan menampal poster secara bersepah di negeri terbabit sejak semalam adalah amat dikasihani.

“Macamlah perbuatan kebudak-budakan seperti itu sesuatu yang wajar dibanggakan,” kata Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang, Syerleena Rashid.

“Mungkin Teng lupa bahawa ada peraturan kerajaan tempatan yang perlu dipatuhi.

“Teng yang dahulu exco kerajaan negeri sepatutnya tahu bahawa mereka perlu memohon permit daripada MBPP dan MPSP,” ujar beliau yang juga Ahli Majlis MBPP.

Sejak tengah malam semalam, ratusan poster fitnah disepah-sepahkan di seluruh negeri. Pihak berkuasa tempatan telah bertindak menanggalkan poster-poster haram terbabit.

Menurut Syerleena, sikap tidak segan silu BN menyalahgunakan peraturan dan undang-undang demi kepentingan sendiri membuktikan bahawa ia sebuah parti yang rosak, keji dan tidak ada masalah melanggar undang-undang.

“Teng sepatutnya tahu bahawa pendekatan sedemikian memperlihatkan kelemahan BN dan sikap tidak mematuhi undang-undang parti itu,” tambah Syerleena.

Terlebih dahulu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah menasihatkan supaya BN negeri tidak mencemarkan alam sekitar dengan membazir kertas mencetak poster sedemikian.

“Semua poster ini telah mencacatkan imej negeri dan alam sekitar. Sebahagiannya menjadi bahaya kepada penunggang kenderaan dan merosakkan harta benda awam.

“Kalau Teng Chang Yeow mahu meneruskan kempen poster ini, pihak PBT mungkin tidak akan membersihkannya lagi. Biarlah ia dilihat oleh orang ramai sehingga Teng Chang Yeow naik malu sehingga terpaksa membersihkannya sendiri,” tegasnya. – Roketkini.com