Berita

BN gagal tepati janji cuti bersalin 90 hari sektor swasta

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal memenuhi janji melaksanakan arahan cuti bersalin 90 hari sejak diumumkan pada 27 Oktober lalu kepada sektor swasta.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, “Dalam pembentangan belanjawan sebelum ini, Perdana Menteri telah umumkan  bahawa tahun 2018 merupakan tahun Pemerkasaan Wanita. Tetapi sampai sekarang kita tidak nampak apa sebenarnya yang akan dia lakukan.”

Menurutnya, salah satu inisiatif kerajaan yang diumumkan ialah untuk menyeragamkan cuti bersalin bagi sektor swasta dari 60 hari kepada 90 hari sepertimana dilaksanakan dalam perkhidmatan awam.

Pada bulan Disember tahun lalu katanya, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Mutalib dilaporkan berkata bahawa majikan di sektor swasta boleh disiasat dan didakwa sekiranya memecat kakitangan wanita yang mengambil cuti bersalin 90 hari.

Bagaimanapun, kenyataan itu kata Nie Ching hanya menunjukkan kejahilan menteri terbabit.

“Ini kerana, tanpa pindaan Seksyen 37 Akta Pekerja 1995, Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah dan Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak di Dewan Rakyat, inisiatif yang diumumkan Najib sebelum ini tidak memberi apa-apa makna.

“Ini bermaksud tidak wujud sebarang peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan kerajaan mengenakan tindakan terhadap majikan yang mengingkari pelepasan cuti bersalin 90 hari seperti yang diakui sendiri oleh menteri semalam menjawab soalan saya,” jelas Nie Ching.

Katanya, pengumuman Najib lima bulan lalu hanyalah sekadar cadangan. Lebih  menyedihkan, kementerian tidak memiliki kesungguhan untuk mengusulkan cadangan pindaan akta pekerja dalam sesi Parlimen ini.

“Berapa lama lagi kerajaan BN akan tunggu untuk buat pindaan ringkas ini? Bila BN akan kemukakan cadangan penuh pemerkasaan wanita tahun 2018 seperti yang dicanangkan?” soal Nie Ching. – Roketkini.com