Berita

Cubaan tutup mulut Mazlan Aliman dikecam

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman ditahan polis sekitar jam 1.30 pagi tadi, dan dibawa ke Kulai untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mazlan dipercayai ditahan ekoran laporan polis oleh peguam isteri Perdana Menteri mengenai ucapan beliau yang mengaitkan Datin Seri Rosmah Mansor dalam beberapa projek yang dirancang serta dilaksanakan oleh Felda.

Mengecam tangkapan terbabit, Pengerusi Pakatan Harapan Bentong; Wong Tack mempersoalkan jika kerajaan UMNO-BN yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Razak semakin takut dengan sokongan warga Felda terhadap Pakatan Harapan.

“Adakah mereka begitu gentar sehingga menyalahgunakan pihak polis untuk membisukan Pengerusi ANAK yang lantang bersuara demi semua warga Felda?” soalnya dalam satu kenyataan.

“Sejak penubuhan Pakatan Harapan yang merangkumi penyertaan PPBM yang dipimpin Tun Dr Mahathir, pimpinan pembangkang bukan sahaja dibenarkan untuk memasuki kawasan Felda, malah telah berjaya mewujudkan gelombang tsunami Felda,” tambahnya.

Minggu lalu ribuan warga Felda Gunung Besout dekat Tanjung Malim membanjiri ceramah Pakatan Harapan dilihat sebagai isyarat kebangkitan Felda menolak UMNO.

“Pimpinan Pakatan Harapan Bentong menyatakan solidariti terhadap saudara Mazlan Aliman yang ditahan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

“Kami menyeru pihak polis untuk berhenti menzalimi pemimpin Pakatan Harapan serta membebaskan saudara Mazlan dengan serta-merta,” tegas beliau. – Roketkini.com