Berita

UMNO berpolitik di sekolah tak apa pula?

Oktober tahun lalu kita digemparkan dengan perbuatan selamba penganjuran sebuah acara di sebuah sekolah rendah di Putrajaya dengan diiringi lagu UMNO dan aktiviti mengibarkan bendera parti itu.

Majlis penyampaian hadiah yang bertemakan ‘Umno dan Kemerdekaan’ (meski dibuat pada bulan Oktober) dihadiri oleh Menteri Wilayah, Tengku Adnan Mansor.

Beliau disambut oleh murid-murid SK Putrajaya Presint 14 (1) dengan berlatarkan lagu UMNO, manakala bendera parti itu dikibarkan di segenap ceruk dan bucu sekolah itu.

Apabila guru besar sekolah tersebut, Mohd Amin Hamzah ditanya pihak media, bijak pandai mana yang menentukan tema sambutan itu, beliau memberitahu bahawa ia telah ditentukan oleh Kementerian Wilayah sendiri.

“Sebenarnya, ia (unsur politik) tidak terlalu jelas, kami hanya menyokong aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, ini tidak ada hubungannya dengan politik,” katanya dilaporkan Malaysiakini.

Beberapa minggu lalu pula, gempar bagaimana seorang pemimpin UMNO Selangor yang tidak begitu popular, diberi peluang menggantikan seorang Ahli Parlimen merasmikan mesyuarat PIBG sebuah sekolah.

Zein Isma Ismail, mengedarkan buku kompilasi tulisannya bertajuk “Viral 3.0 @ Zeinisma, Transformasi Selangor Maju Bersama BN” di mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh.

Buku tersebut mengandungi beberapa bahagian dengan tajuk-tajuk seperti “DAP kekal taiko Pakatan”, “Kerajaan Selangor terlalu angkuh” dan “Penyakit Pembangkang Menjelang PRU14”.

Itu belum masuk sikap tidak segan silu parti pemerintah mempergunakan dewan sekolah dan kemudahan infrastrukturnya untuk acara-acara parti, sejak zaman berzaman.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan United Malays National Organisation menghalang pemimpin-pemimpin parti kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang daripada dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah, walaupun atas kapasiti rasmi kerajaan.

Jadi apabila meloncat sekalian juak Barisan Nasional memberi reaksi terhadap rakaman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyanyikan lagu ABCDGST ketika melancarkan Pusat Tuisyen Rakyat di negeri itu, sukar untuk kita menahan hairan dan rasa ingin ketawa.

Apa yang BN ni tiba-tiba mengelupur. Dia berpolitik dalam sekolah tak apa pula.

Bukan sahaja itu, Guan Eng kini sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000, penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Seperti biasa, beliau sedia memberikan kerjasama penuh kepada polis tetapi mempersoalkan bagaimana apa yang dilakukannya itu mewajarkan siasatan jenayah berskala besar ke atas seorang ketua menteri.

“Bolehkah tindakan polis ini tidak dianggap berlebihan, dan paling tidak menyalahgunakan kuasa terhadap lawan politik menjelang pilihan raya umum?”

Menurut beliau, lagu yang ditayangkan ke layar dan dinyanyikan beramai-ramai itu tidak menyebut mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN), mahupun parti politik mahupun kerajaan BN.

Malah klip video yang ditayangkan itu telah wujud sejak tahun 2015 lagi.

Menjelang pilihanraya umum tak berapa minggu sahaja lagi, UMNO dan aparat kerajaan nampaknya akan bekerja lebih masa untuk menyerang pimpinan parti-parti Pakatan Harapan, walaupun sebenarnya kita tidak tahu apa hala tuju serangan itu.

Apakah dengan menyusahkan dan menakut-nakutkan mereka ini, maka rakyat akan mengundi Barisan Nasional dan kurang menyampah dengan Perdana Menteri? Entah lah. – Roketkini.com