Rencana

Peguam wanita Murut ketuai DAP Tenom berbakti kepada rakyat

Tenom tidak pernah menghampakan siapa sahaja yang menjejak kaki ke sini. Terletak di daerah tengah pedalaman Sabah kira-kira 176 kilometer dari Kota Kinabalu. Pekan kecil Tenom merupakan nadi kepada ekonomi berasaskan pertanian dan pelancongan kepada sekitar lebih 51,000 penduduk.

Selain popular sebagai pusat eko-pelancongan dan kebudayaan suku kaum Murut, Tenom juga dikenali sebagai daerah pengeluaran kopi bermutu di Sabah. Semerbak aroma kopi panggang yang menyinggah dibawa hawa pagi pasti mengusik – lebih-lebih lagi kalau anda seorang peminat tegar!

Dari daerah tenang itu jugalah lahirnya seorang peguam wanita Murut Tahol dari Kemabong pertama di negara ini bernama Noorita Sual, 38 – selain memiliki firma guamannya sendiri, beliau aktif bersama DAP sebagai wadah dan suara bagi masyarakat.

Penyelaras DAP Tenom, Noorita Sual bertemu mesra dengan masyarakat

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), semangat dan sikap bertanggungjawab Noorita telah mendorong beliau untuk dicalonkan mewakili DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.

Meski kemenangannya tertangguh, Noorita terus menabur jasa kepada rakyat di sini  khususnya buat mereka yang telah lama dipinggirkan kerajaan UMNO-BN Sabah.

Menurutnya, walaupun kerjaya sebagai seorang peguam sudah memadai, namun dorongan keluarga dan masyarakat agar menjadi pemimpin dengan melibatkan diri dalam politik harus dipikul dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

“Menjadi pemimpin masyarakat bukan sahaja bermaksud bertanggungjawab kepada Tuhan namun juga kepada seluruh anggota masyarakat yang kita pimpin.

“Saya boleh berbangga kerana dilahirkan dalam keluarga yang luar biasa, saya mempunyai ibu bapa yang sangat mementingkan pelajaran anak-anak walaupun bukan senang bagi seorang bapa yang hanya berkerja sebagai pemandu di Jabatan Pertanian untuk menyekolahkan kesemua anak-anaknya hingga berjaya,” katanya ketika dihubungi.

Keluarga jadi pendorong semangat juang

DAP Tenom pimpinan Noorita berjaya mengakhiri kegelapan panjang penduduk Kg Rayoh melalui projek bekalan elektrik tenaga solar dengan kerjasama Impian Malaysia.

Ketegasan, kejayaan dan kecekalan kedua ibu bapanya menjadi pedoman meneruskan perjuangan membela sosio-ekonomi rakyat.

“Jika saya dipilih mewakili rakyat di Tenom,  saya akan berusaha untuk membantu para petani di daerah Tenom untuk mencari ruang dan peluang bagi meningkatkan hasil-hasil pertanian berdasarkan teknologi pertanian dan meluaskan pasaran hasil-hasil pertanian,” katanya yang juga Penyelaras DAP Tenom.

Peluang ekonomi yang terhampar luas di bumi Tenom bagaimanapun tidak menjadi padang tuai buat golongan muda daerah ini yang semakin ramai meninggalkan kampung halaman mencari penghidupan di kota-kota besar seperti Kota Kinabalu.

Bagi Noorita, fenomena ini berlaku bukan kerana anak-anak tempatan malas tetapi kerana kurangnya peluang pekerjaan dan kurangnya dorongan peluang-peluang ekonomi daripada  kerajaan.

Fenomena penghijrahan ini bukan sahaja melanda daerah Tenom malah turut melanda sebahagian besar daerah-daerah pedalaman di Sabah.

“Kita melihat wujud kekurangan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk anak-anak muda ini mengusahakan tanah-tanah kosong yang ada, lebih dahsyat lagi, tanah adat yang sepatutnya menjadi hak nenek moyang mereka dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau.

Sebagai pemimpin, beliau bukan sahaja perlu menjadi pengemudi dan sentiasa bersiap sedia tetapi juga perlu menjadi pendengar yang baik terhadap segala cadangan dan kritikan masyarakat.

“Jika saya dipilih, saya akan berusaha menerajui dan melaksanakan segala tanggungjawab yang diberikan dengan semangat kerjasama, amanah, adil malah terus mendokong agenda demokrasi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya lagi. – Roketkini.com

Susunan: Hafiz Zainuddin