Berita

Manusia paling tua rupanya ada di Sarawak

Sejak kematian Violet Brown, warga Jamaica berusia 117 tahun pada 15 September tahun lalu, gelaran manusia paling tua di dunia disandang Nabi Tajima, dari Jepun; lahir 4 Ogos 1900.

Namun hakikatnya, orang paling tua di dunia rupa-rupanya berada di Sarawak.

Mohd Said Bin Mohd Arshad, lahir 1 Januari 1868, ditemui dalam senarai daftar pemilih di Daerah Mengundi Krokop, dalam DUN Pujut, Parlimen Miri.

Pun begitu, hal tersebut diragui Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak, Abdul Aziz Isa, yang membuat penemuan terbabit.

“Jika maklumat ini sahih sebagaimana yang diperolehi, hal ini bermaksud Malaysia telah mencipta rekod dunia kerana mempunyai seorang rakyat berumur 150 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

“Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai tanggungjawab untuk membersihkan senarai nama pengundi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi mengelakkan sebarang penipuan oleh ‘pengundi hantu’

“Perkara seperti ini menimbulkan persoalan terhadap kewibawaan pihak SPR sebagai sebuah badan bebas, adil dan badan yang mengadakan pilihan raya dengan telus tanpa memihak kepada sesiapa,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, sekiranya hal tersebut tidak dijelaskan oleh pihak SPR, ia akan terus menumbulkan lebih banyak kemusykilan dan persoalan terhadap kredibiliti badan pengurus pilihanraya itu.

“Saya meminta agar pihak SPR memberi penjelasan yang sewajarnya tentang ‘keajaiban’ ini dengan mengesahkan maklumat ini. Jangan biarkan SPR diselubungi oleh misteri.” – Roketkini.com