Berita

Antara Jailani dan Salleh Keruak, berita siapa yang palsu?

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari tempoh hari memberitahu Parlimen bahawa sebarang maklumat tentang 1MDB yang tidak disahkan oleh kerajaan UMNO-BN adalah berita palsu.

Namun semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak pula memberi jaminan kepada wartawan media asing bahawa laporan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) tentang 1MDB tidak dikira sebagai ‘berita palsu’.

Kekeliruan ini timbul di tengah-tengah perbahasan awam tentang Rang Undang-undang Anti-Berita Palsu yang muncul di Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua justeru menimbulkan persoalan: Antara si Timbalan Menteri dan bosnya itu, siapa sebenarnya yang berkata benar? Berita siapa yang palsu?

DOJ dalam dokumen saman sivilnya menyenaraikan aliran wang berjumlah US$730 juta ke akaun peribadi ‘Malaysian Official 1’, selain perkara-perkara yang telah dibeli hasil wang terkait 1MDB termasuklah batu permata merah jambu bernilai RM110 juta, serta kapal layar mewah Equanimity bernilai RM1 bilion yang baru-baru ini disita di Indonesia.

“Pun begitu, kesemua tuduhan-tuduhan berat ini belum ‘disahkan’ apatah lagi diperakui oleh Kerajaan Malaysia.

“Malah, pentadbiran Najib Razak dan 1MDB sendiri mendakwa bahawa tidak ada wang yang hilang, meski tidak menyertakan bukti kukuh. Kalau diikutkan tafsiran Datuk Jailani di Parlimen, dakwaan DOJ semuanya ‘berita palsu’,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tony mempersoalkan sama ada kerajaan sebenarnya hanya berniat untuk menindas rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang lantang mengkritik kerajaan ekoran pendedahan DOJ itu.

Menurut beliau, tidak ada bukti yang lebih jelas bahawa RUU tersebut yang sedang disegerakan di Parlimen hanyalah akan menyasarkan para pengkritik.

“Undang-undang ini adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi dan keadilan, dan mesti ditolak!” tegasnya.

RUU yang dibentang semalam menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang yang menyifatkan hukuman denda maksima RM500,000 dan hukuman penjara 10 tahun tersebut sebagai keterlaluan. – Roketkini.com