Rencana

Beberapa persoalan tentang RUU berita palsu

Jika Rang Undang-Undang anti berita palsu (Akta antiBerita Tidak Benar 2018) diluluskan parlimen dan dikuatkuasakan oleh pemerintahan Najib Razak, kita semua boleh dikenakan hukuman yang sangat berat sekiranya anda memanggil seseorang itu dengan gelaran haiwan atau apa sahaja kerana pernyataan tersebut adalah sama sekali tidak benar.

Menteri seperti Nazri Aziz pun boleh dikenakan hukuman penjara sekiranya dia terus memanggil MCA dengan pelbagai gelaran kesat dalam wawancaranya kepada media.

Satira dan komedi bakal menjadi sejarah apabila RUU ini menjadi undang-undang kerana bahan jenaka hampir sahaja pasti berbentuk palsu dan direka-reka.

Menggelar seseorang sebagai bodoh contohnya, dalam apa juga bentuk perkataan pun boleh menjadi jenayah kerana orang yang digelar mungkin mempunyai ijazah daripada universiti terkemuka.

Di zaman RUU berita palsu ini, adalah lebih baik bagi rakyat Malaysia yang mempunyai pendapat peribadi tetapi tidak ada wang atau tidak mahu dipenjara, supaya mengakhiri kenyataan mereka dengan tanda soal. Pastinya bertanya soalan tidak dikira sebagai kenyataan palsu, kan?

Sebenarnya terdapat banyak kejanggalan dalam draf RUU ini, yang membuatkan kita sangat terganggu. Yang paling utama ialah ambiguiti dalam tafsiran berita palsu itu sendiri.

RUU 15 mukasurat ini langsung tidak memberitahu kita siapakah yang mempunyai kuasa untuk menentukan kepalsuan sesuatu pernyataan atau laporan berita atau tulisan.

Contohnya jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memohon perintah mahkamah (seperti yang diperuntukkan oleh Akta melalui Seksyen 7[1]) supaya laman web Wall Street Journal (WSJ) yang berada di luar negara (juga dibolehkan Akta melalui Seksyen 3[1]) untuk menurunkan laporan-laporannya tentang skandal 1MDB, serta mendakwa pendana-pendana WSJ (juga seperti yang diperuntukkan oleh Akta melalui Seksyen 5), adakah wujud sebarang proses yang diiktiraf Akta untuk terlebih dahulu menentukan keabsahan laporan WSJ?

Adakah mahkamah akan terpaksa memeriksa keterangan-keterangan saksi-saksi seperti Arul Kanda untuk menentukan terlebih dahulu laporan WSJ itu benar atau palsu?  Seksyen 2 nampaknya sama sekali bisu daripada menentukan siapa atau apa yang mempunyai kuasa penentu betul-palsu sesuatu kenyataan.

Dan jikalau menteri yang diberi kuasa mutlak untuk berbuat demikian, meski tidak diperuntukkan oleh Akta, adakah sebarang peruntukan untuk mencabar keputusan tersebut?

RUU ini nampaknya dibuat secara terlalu tergesa-gesa sehingga begitu banyak ambiguiti yang menjadikannya mengarut dan kelihatan cuai dengan lacuna yang begitu besar sekali.

Lebih penting lagi, sekiranya RUU ini diluluskan, apakah jaminan bahawa penguatkuasaannya akan dilakukan secara adil dan saksama? Bagaimana kalau kerajaan yang membuat berita-berita palsu? Bagaimana kalau pembangkang melaporkan portal-portal berita pro-UMNO yang telah selama ini memfitnah pimpinan pembangkang? – Roketkini.com

*Lim Lip Eng merupakan Ahli Parlimen Segambut