Rencana

Mendamaikan keresahan tentang calon Melayu DAP

Saya terbaca satu temubual di Malaysiakini menampilkan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Perak, saudara Ahmad Faizal Azumu. Di dalamnya beliau ada mencadangkan agar DAP tidak mencalonkan ahlinya yang berketurunan Melayu di Perak. Saya maklum akan keresahan beliau.

Memandangkan soal strategi merupakan soal ijtihad, yang ada ruang bersetuju untuk tidak bersetuju, saya terpanggil untuk berkongsi pandangan.

Meskipun konteks pandangan beliau adalah berkenaan negeri Perak, namun alasan yang sama boleh saja diguna pakai oleh sesiapa sahaja di mana-mana. Terutamanya Semenanjung Malaysia. Ini kerana kita menyedari tindakan UMNO/BN meracuni pemikiran orang Melayu dengan mewujudkan pelbagai persepsi negatif terhadap DAP tidaklah terhad di negeri Perak saja.

DAP Parti Berbilang Kaum

Pembohongan yang diulang-ulang akan membuatkan ia terasa seperti benar. Ini yang membuatkan ramai terlupa bahawa DAP merupakan sebuah parti berbilang kaum sejak dahulu lagi. Bukan seperti apa yang diulang lapor ‘berita-berita palsu’ jentera UMNO/BN.

Perak sendiri merupakan negeri yang melahirkan banyak tokoh veteran DAP berketurunan Melayu. Ibrahim Singgeh, merupakan veteran DAP yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tapah Road. Fadzlan Yahya merupakan seorang lagi veteran DAP yang pernah menjadi ADUN bagi DUN Pasir Berdamar.

Malah pada Pilihanraya Umum tahun 1974, seramai 14 daripada 33 calon DAP yang bertanding bagi DUN Perak adalah orang Melayu. Oleh itu, sekiranya pada pilihanraya umum akan datang DAP berhasrat meletakkan calon Melayu di Perak, ianya tidak lain hanya meneruskan tradisi dan kebiasaan DAP sejak awal penubuhannya.

Di saat DAP kini memiliki ramai aktivis-aktivis parti berketurunan Melayu, bukanlah sesuatu yang ganjil sekiranya DAP berhasrat meletakkan calon-calon Melayu bukan sahaja di Perak, malah di seluruh Malaysia sekalipun.

Pecahkan Bingkai Penipuan UMNO/BN

Sekiranya diarasakan bahawa DAP berhadapan satu cabaran besar akibat dari persepsi buruk yang UMNO/BN mainkan, maka jalan keluarnya ialah dengan mengubati akar permasalahan, yakni persepsi itu tadi. Bukannya dengan mengalah kepada persepsi palsu yang cuba dibina UMNO/BN.

Di saat UMNO/BN galak menuduh DAP bukan parti untuk orang Melayu, tindakan untuk sengaja tidak mahu meletakkan calon Melayu, meskipun ada yang layak, hanya akan mengukuhkan bingkai penipuan UMNO/BN.

Memandangkan DAP merupakan sebahagian dari Pakatan Harapan, kejayaan bingkai penipuan UMNO/BN terhadap DAP bukan saja akan memberikan kesan kepada DAP, tetapi juga rakan-rakan pakatan yang lain. Ingat, sekiranya akar masalah tidak diatasi, waima yang menjadi Menteri Besar itu dari parti PPBM sekalipun, boleh saja UMNO/BN terus mengaitkannya dengan cerita palsu mereka tentang DAP.

Oleh itu, sekiranya DAP berhasrat meletakkan calon berketurunan Melayu di mana-mana negeri pun, ini harus dilihat sebagai langkah positif. DAP sedang memecahkan imej rekaan UMNO/BN. Secara tidak langsung memudahkan lagi kawan-kawan dalam pakatan kerana tidak perlu terperangkap sama dengan imej-imej negatif rekaan UMNO/BN.

Saya pasti UMNO/BN mempunyai bingkai penipuan yang khusus untuk setiap parti komponen Pakatan Harapan. Sesetengahnya disasarkan pada kaum-kaum tertentu baik Melayu, Cina, India atau etnik-etnik lain di Sabah dan Sarawak. Maka kita ada dua pilihan, terperangkap dalam pertuduhan palsu UMNO/BN dengan cara mengalah saja. Atau kita perlu mengatasinya bersama-sama.

Maka di sini, kebersamaan sebagai satu pakatan amat penting. Harus ada kerjasama dan saling tolong-menolong dalam memperkuatkan antara satu sama lain.

Bergerak Bersama

Saudara Ahmad Faizal sendiri di dalam temubual berkenaan berkongsi pengalaman beliau bagaimana suatu masa dahulu beliau sendiri ada kerisauan tidak bersasas terhadap DAP. Namun kini semuanya berubah. Kini beliau giat membantu orang lain pula untuk bebas dari bingkai penipuan UMNO/BN.

Saya mengucapkan syabas kepada usaha itu. Saya percaya itulah yang sepatutnya setiap parti komponen Pakatan Harapan giat lakukan. Saling membantu memperkukuhkan imej rakan-rakan parti lain yang secara tidak langsung memperkukuhkan imej Pakatan Harapan secara keseluruhan.

Di media-media kita boleh lihat UMNO sedang bercakaran dengan MCA, lantas menunjukkan betapa Barisan Nasional itu tidak lain hanya tinggal nama. Tiada lagi barisan, yang ada hanya hulubalang-hulubalang yang bertaburan mematuk-matuk dedak.

Pakatan Harapan harus terus memperkukuh muafakat dan menunjukkan bahawa di akhir nanti yang menang bukanlah parti komponen, tetapi Pakatan Harapan secara keseluruhannya.

Semangat pakatan itu tiada beza dengan slogan dalam filem Ola Bola, “Kita menang sama-sama, kalah sama-sama”. – Roketkini.com