Berita

Proses permohonan status kanak-kanak tanpa kerakyatan akan dipermudahkan – DAP Sabah

Proses pendaftaran permohonan kanak-kanak tanpa kerakyatan akan dipermudahkan sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengambil alih pentadbiran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kata Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin.

Menurutnya, jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan sehingga mencecah angka seramai 300,000 bukanlah isu baru dan perlu ditangani segera demi masa depan mereka.

Birokrasi kerajaan terhadap permohonan status kewarganegaraan anak-anak ini katanya telah menyebabkan banyak kes permohonan tertangguh dan gagal.

Kesannya, anak-anak tersebut menghadapi kesukaran untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan hak yang saksama seperti warganegara walaupun telah menetap di negara ini sejak dilahirkan sebagaimana kes melibatkan pelajar cemerlang STPM Roisah Abdullah yang terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah birokrasi.

Berdasarkan statistik Kementerian Dalam Negeri antara tahun 2012 hingga 2017, terdapat 15,394 anak-anak yang dilahirkan di Malaysia gagal mendapatkan status kerakyatan meskipun bapa mereka memiliki status sah sebagai warganegara.

Antara punca utama yang dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini ialah lewat daftar kelahiran, ditinggalkan semasa lahir, gagal menjejaki ibu bapa dan ibu atau bapa yang memegang kerakyatan asing yang gagal mendaftar perkahwinan.

ADUN Sri Tanjung itu berkata, jumlah kanak-kanak tanpa kerakyatan yang besar di negara ini  menunjukkan kerajaan tidak serius dan perlu mengambil pendekatan yang lebih cekap serta berperikemanusiaan dalam pemprosesan permohonan kewarganegaraan.

“Anak-anak ini tidak boleh mendaftar masuk ke sekolah jika gagal mengemukakan paspot yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen pada Disember tahun lalu. Bukan itu sahaja, anak-anak ini juga nanti tidak layak untuk memohon passport dan lesen memandu.

“Mereka (anak-anak) tidak boleh dimangsakan akibat kecuaian dan kesalahan ibu bapa. Terdapat hampir 50,000 rakyat asing yang diberi status kerakyatan Malaysia termasuk isteri Gabenor Sarawak.

“Jika kerajaan boleh beri kerakyatan kepada orang asing, mengapa tidak anak-anak yang lahir dan membesar di negara ini?” soalnya pada sidang media di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Malah jelas Foong Hin, tidak wujud sebarang peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan perkahwinan ibu dan bapa kepada anak itu perlu didaftarkan supaya anak mereka.

Berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN), kerajaan HARAPAN beriltizam untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh 100 hari pentadbiran khusus kepada masyarakat India yang tidak memiliki status kerakyatan yang sah.

Penyelesaian perkara tersebut juga wajar diperluas kepada komuniti lain khususnya di Sabah dan Sarawak. – Roketkini.com