Berita

Sheikh Omar kesal fitnah kaitkan jawatan MB Johor

Ada pihak kelihatan begitu tidak senang apabila DAP mengangkat Sheikh Omar Ali sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Johor sehingga sanggup menabur fitnah.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu, fitnah yang dimaksudkan datang daripada individu berijazah PhD yang mendakwa kononnya sebagai calon tunggal Melayu mewakili DAP, beliau akan dilantik menjadi Menteri Besar jika Pakatan Harapan memenangi negeri itu.

“Lebih kasihan lagi, fitnah sebegini telah diterbitkan di Harakahdaily, portal milik PAS.

“Mungkin orang PhD ini menyangka orang Melayu adalah bangsa yang bodoh dan boleh dipermainkan.

“Sayangnya dia masih tidak sedar diri. Mungkin kerana dia terpaksa puaskan hati tuannya. Biarlah. Rakyat Malaysia, bangsa Melayu, bangsa Johor tahu apa yang baik dan buruk.

“Mungkin dia lupa bagaimana satu Malaysia telah memerhatikan perangai buruk beliau yang kononnya hendak ‘tunjuk pandai’ namun panik di hadapan Tun Dr Mahathir sewaktu wacana Sinar Harian baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada tulisan Dr Kamarul Zaman Yusoff bertarikh 31 Mac 2018 yang diterbitkan portal terbabit.

Selain itu, fitnah yang sama turut disebarkan menerusi laman Facebook Muafakat Johor dengan bahan grafik bersifat provokatif.

Menafikan dakwaan fitnah terbabit, Sheikh Omar menegaskan, bahawa ramai calon lain yang layak, berwibawa dan lebih senior daripanya untuk menjadi Menteri Besar.

“Pakatan Harapan mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Salahuddin Ayub, Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh, YB Aminolhuda Hassan, Hassan Karim dan ramai lagi.

“Mereka ini pastilah jauh lebih layak untuk menjadi MB Johor. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan mereka.

“Cerita DAP hendak jadi MB ini hanya taktik lapuk dan basi untuk menakut-nakutkan orang Melayu,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap semua petugas parti lawan termasuklah Dr Kamarul berhenti dari melakukan fitnah dan pembohongan.

“Saya bimbang balasan Allah SWT terhadap pencipta dan penyebar fitnah bukan sahaja menanti di akhirat tetapi juga boleh berlaku di muka bumi ini.

“Hentikanlah menakut-nakutkan orang Melayu. Bangsa Johor bangsa yang tahu menilai apa yang baik dan apa yang buruk. Hanya jauhari mengenal manikam,” katanya lagi. – Roketkini.com