Berita

Mansuh Rejimen Askar Melayu Diraja tidak logik!

Gambaran salah Najib kononnya prinsip ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi konsep perjuangan DAP menyebabkan Rejimen Askar Melayu DiRaja terancam adalah tohmahan jahat berniat menakut-nakutkan dan menimbulkan prasangka perkauman buruk rakyat negara ini.

Mainan politik sempit UMNO itu bagaimanapun terus mendapat kritikan tokoh-tokoh akademik dan pesara tentera.

Logo Rejimen Askar Melayu DIraja

Sejak kontroversi ini tercetus, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dari awal lagi menegaskan bahawa DAP akan mempertahankan RAMD dan menzahirkan rasa kesal apabila Najib terus memainkan politik ketakutan dan berita palsu.

Faktanya, pasukan tersebut tidak mungkin dimansuhkan sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memandangkan ia dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu.

Tokoh perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, berita palsu yang disebut Najib itu jelas satu pembohongan dan perlu diambil tindakan.

“Memansuhkan RAMD seolah-olah memansuhkan ATM dan pertahanan negara. Ini gila!

“Beliau telah mempolitikkan angkatan tentera yang sepatutnya berkecuali dari politik dan setia kepada Raja dan Negara.

Dr Abdul Aziz Bari

“Lebih menyedihkan Najib adalah antara menteri pertahanan paling lama dan sepatutnya sedar apa yang dikatakannya,” kata Aziz ketika dihubungi Roketkini.

Tegasnya memansuhkan RAMD bukan sahaja merosakkan pertahanan negara tetapi juga membuang sejarah.

RAMD katanya merupakan rejimen pertahanan tertua dalam Angkatan Tentera Malaysia yang ditubuhkan pada 1 Mac 1933 atas permintaan Raja-Raja Melayu khususnya Raja Chulan dari Perak diikuti dengan penubuhan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) pada 1934.

Rejimen ini turut berperang bersama tentera British dan tentera berikat lainnya pada Perang Dunia II. Antara tokoh pejuang yang masyhur ialah Leftenan Adnan Saidi (dari Kajang, Selangor).

RAMD juga bertanggungjawab berjuang menentang pemberontakan komunis di zaman darurat 1948 hingga 1960 begitu juga dengan kemunculan subversif komunis hingga 1989.

Sejarah kegemilangan dan jasa RAMD perlu dikenang dan ia perlu diteruskan sebagai warisan dan kebanggaan negara.

“Tidak masuk akal DAP atau HARAPAN akan memansuhkan sesuatu yang telah menjadi warisan negara; sama seperti institusi beraja,” kata Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu.

RAMD kata Aziz terus mengharumkan nama negara apabila terlibat dalam perlbagai misi keamanan PBB seperti Bosnia, Somalia dan banyak lagi.

RAMD juga pernah diundang oleh Kerajaan British untuk mengawal istana Buckingham Queen Elizabeth II di London pada 2010 dan merupakan pasokan yang menyediakan kawalan kehormat untuk tetamu negara termasuk Presiden Obama dari AS dan lain-lain. – Roketkini.com

Kredit foto: FB Rejimen Askar Melayu Diraja