Berita

Exco dan Adun Pulau Pinang isytihar harta buat kali ketiga

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menunaikan janjinya dengan mengumumkan pengisytiharan harta secara terbuka oleh semua ahli EXCO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kerajaan) bagi tempoh berakhir 31 Januari 2018.

Pengisytiharan harta secara terbuka ini merupakan kali ketiga dilaksanakan.

“Pengisytiharan pertama telah dilaksanakan pada tahun 2011, melibatkan semua ahli EXCO Kerajaan Negeri.

“Manakala pada tahun 2013, Kerajaan Negeri telah memutuskan agar Ahli Dewan Undangan Negeri juga turut serta dalam pengisytiharan harta dan semua maklumat ini telahpun dimuatnaik ke portal rasmi Kerajaan Negeri untuk pengetahuan umum,” kata Ketua Menteri Lim Guan Eng kepada media.

Menurutnya, firma juruaudit bebas bertauliah Grant Thornton telah dilantik Kerajaan Negeri untuk menjalankan pengauditan pengisytiharan harta tersebut.

“Pihak juruaudit mendapati semua maklumat dan dokumen yang dikemukakan adalah teratur,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Negeri sekali lagi telah menunaikan janjinya dengan mengumumkan pengisytiharan harta oleh ahli EXCO dan ADUN secara terbuka.

“Ini membuktikan bahawa pentadbirannya adalah bersih berasaskan CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Maklumat pengisytiharan harta boleh dicapai dalam portal Kerajaan Negeri www.penang.gov.my di bawah tajuk “Topik Popular”. – Roketkini.com