Berita

Kawal monopoli syarikat pengeluar elak kenaikan harga barang

Kenaikan harga barangan secara mendadak sejak 10 tahun kebelakangan ini bukan dongeng ciptaan pihak pembangkang atau rakyat biasa.

Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada tahun 2014 menjadi penyumbang kepada kenaikan harga keperluan selain kedudukan harga petrol yang tidak menentu.

Rakyat semakin terbeban apabila wujud kalangan peniaga dan pengeluar yang turut mengambil kesempatan disebalik kelemahan penguatkuasaan dan pemantauan agensi-agensi kerajaan.

Bagi mengawal dan menstabilkan situasi ini, Manifesto Pakatan Harapan (Buku HARAPAN) dalam Janji 2 iaitu Menurunkan tekanan kenaikan harga yang membebani rakyat akan memastikan semua bentuk manipulasi dan monopoli syarikat-syarikat pengeluar dihentikan.

“Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan syarikat-syarikat besar tidak boleh menzalimi rakyat melalui kuasa monopoli mereka.

“Monopoli yang dimiliki oleh syarikat-syarikat seperti BERNAS dalam pengeluaran beras, ASTRO dalam sektor penyiaran, dan lain-lain lagi, akan dikaji semula.

“Harga ubat-ubatan juga akan dipastikan berpatutan dengan cara memastikan wujud persaingan sihat di kalangan pembekal.”

Kerajaan HARAPAN juga akan bekerjasama secara proaktif dengan pembekal untuk memastikan bekalan barang-barang sentiasa mencukupi, terutama di musim perayaan.

“Bekalan barangan yang cukup untuk memenuhi permintaan akan menjamin tiada peningkatan harga yang mendadak. Insentif yang secukupnya juga akan diberikan untuk meningkatkan bekalan keperluan asas supaya tekanan kenaikan harga boleh dikurangkan dalam masa jangka panjang,” kata Buku HARAPAN. – Roketkini.com