Berita

PAS semakin jinak dipujuk rayu UMNO

Jika sebelum ini PAS menjadi parti yang digeruni UMNO lantaran sikap cakna dan lantang menyuarakan  kepentingan rakyat, kini, taring parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu semakin tumpul dan lemah akibat pertelingkahan dalaman serta ketandusan pemimpin berwibawa.

Malah, beberapa tempoh waktu ini memperlihatkan PAS kian jinak dan tunduk kepada ‘pujuk-rayu’ musuh tradisinya itu.

Wawancara Roketkini baru-baru ini sempat menggali sudut pandang Faiz Fadzil yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) dan anak kepada tokoh terkemuka PAS yang disegani lawan dan kawan, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.

PAS jadi tongkat kuasa UMNO

Menurut Faiz, PAS di zaman almarhum ayahnya jauh berbeza di bawah kepimpinan Abdul Hadi dengan menyenaraikan lima perbezaan yang nyata.

“Pertama, PAS tidak lagi berada di barisan depan menentang Barisan Nasional, malah menyokong kepimpinan Najib Razak; walaupun berhadapan pelbagai skandal. PAS menjadi tongkat dan benteng terakhir kepada kekuasaan UMNO,” katanya.

PAS juga tidak lagi mencerminkan sebuah parti Islam yang relevan dalam negara kerana menggunakan sentimen agama dan perkauman sebagai hala tuju politik.

“Sedangkan isu yang real hari ini adalah isu kos sara hidup, yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus UMNO dan Barisan Nasional. Tiada cara lain selain mengubah kerajaan yang ada, bukan menjadi penasihat.

“Kalau PAS mengambil sikap menasihati kerajaan yang ada sudah pasti GST sudah dimansuhkan, dan rasuah yang haram di sisi agama telah berkurangan. Sikap PAS kini seolah-olah ia bukan lagi parti yang memperjuangkan Islam yang mematuhi kehendak syariat, kehendak siasah dan juga realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” jelas beliau.

Perbezaan ketiga menurut Faiz, meskipun PAS bukan parti perkauman malah tidak menghadkan keahliannya kepada bukan Islam, namun dewasa ini PAS katanya galak memainkan sentiment kaum dan agama.

Selain itu, PAS juga telah terkebelakang daripada halatuju politik yang sepatutnya selama ini untuk menjatuhkan UMNO-BN dengan memperkukuhkan pakatan yang ada.

“Sebenarnya PAS yang mendepani coalition. PAS yang mencipta Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif serta memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Perjuangan PAS selama ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik (pembangkang) dengan tujuan ‘merampas’ kuasa  daripada UMNO dan BN

“Apabila PAS mengambil langkah untuk berpecah daripada rakan-rakan parti pembangkang, menunjukkan bahawa PAS tidak mahu mengambil kuasa daripada UMNO-BN,” jelasnya.

Beliau mengambil contoh bagaimana kedudukan PAS sewaktu menjalinkan kerjasama politik dan bersaing secara sendirian.

“Pada 1990, PAS kuasai Kelantan; 1999 Terengganu. Tahun 1999 adalah rekod pencapaian terbaik PAS di peringkat Parlimen, 27 kerusi dan kemudian merosot kepada hanya 7 dalam PRU ke-11.

“Kalau PAS keluar daripada Pakatan, ia akan kembali merosot,” jelas Faiz.

Ekstremisme 

Perbezaan kelima ujarnya, PAS tidak tahu apa yang harus diperjuangkan dalam konteks realiti di Malaysia.

“Dulu mereka memperjuangkan hudud, kemudian di zaman Ust Fadzil ia memfokuskan negara berkebajikan, hari ini kembali kepada hudud kononnya; dalam hal RUU355 dan akhirnya ditipu oleh UMNO,” katanya.

Selain itu, sikap ekstremisme yang ditunjukkan oleh PAS pada saat ini ujar Faiz telah kembali ke zaman sebelum Tuan Guru Yusof Rawa.

Jika di zaman Ustaz Fadzil PAS menunjukkan sikap terbuka, kini, PAS lebih cenderung menunjukkan sikap takfiri, ekstremis, cepat melabel, bermusuh dan seolah-olah mahu kembali ke zaman Amanat Hadi.

“Amanat Hadi adalah lambang kepada ekstremisme dalam pemikiran pemimpin PAS.

“Dengan mempertahankan amanat itu sampai sekarang, PAS mahu menjadi parti ekstrem yang tidak mahu berkawan dengan mana-mana parti lain kecuali dengan UMNO,” katanya lagi.