Berita

Akhirnya Najib umum tarikh Parlimen bubar

Parlimen yang ke-13 akan dibubarkan esok, 7 April 2018 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengumuman itu dibuat secara langsung sebentar tadi setelah menghadap dan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan menetapkan tarikh berlangsungnya pilihan raya.

Berdasar Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 587 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan kali ini.

PRU14 bakal menyaksikan persaingan sengit Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai bakal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara isu utama yang dijangka menghangatkan kempen pilihan raya kali ini ialah isu skandal penyelewengan dana berdaulat negara 1MDB, kenaikan kos sara hidup, cukai GST, Tabung Haji, FELDA, pelaburan China dan banyak lagi.

Pilihan raya kali ini juga bakal menjadi ujian sulung buat komponen dan rakan sekutu HARAPAN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN). – Roketkini.com