Berita

DAPSY sokong penuh guna logo bersama

DAPSY menyokong penuh keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP untuk menggunakan logo bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) dan tidak menggunakan lambang Roket pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh berkata, walaupun ia bukan suatu keputusan mudah bagi DAP, ia adalah perlu dan tepat pada masanya untuk mewujudkan gelombang perubahan yang menyeluruh dan bersejarah di negara ini.

“DAPSY percaya bahawa keputusan ini telah membawa suatu kejutan kepada Barisan Nasional (BN) yang jelas sudah tidak boleh mencapai hasratnya dengan memperalatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam melengah-lengahkan pendaftaran Pakatan Harapan,” katanya dalm kenyataan.

Sehubungan itu katanya, DAPSY seluruh penyokong DAP untuk membantu kempen PRU14 mempromosikan logo bersama yang akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir hari ini.

“Pakatan Harapan telah mengumumkan barisan pimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan pada bulan Julai tahun lepas, disusuli dengan pengumuman calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama pada bulan Januari dan Manifesto bersama pada bulan Mac tahun ini.

“Keputusan Pakatan Harapan untuk menggunakan lambang bersama untuk kesemua calon PH dalam PRU14 merupakan puzzle terakhir untuk memenangkan PRU yang akan datang,” kata Adun Canning itu.

Mengulas kegagalan ROS mendaftarkan HARAPAN sebagai sebuah gabungan rasmi, Kah Woh berkata, pelbagai isu yang timbul saat ini jelas menunjukkan ROS tidak mempunyai hasrat untuk meluluskan HARAPAN.

“Barisan Nasional akan menjadi penerima manfaat yang paling utama sekiranya keempat-empat komponen parti dalam Pakatan Harapan tidak dapat menunjukkan semangat kesepakatan pada tahap maxima.

“Pada hari ini juga, iaitu hanya sehari sebelum Parlimen dijangka bubar, pihak ROS telah mengumumkan untuk membubarkan PPBM.

“Kita hanya boleh mendapat satu kesimpulan dari peristiwa ini, iaitu BN sudah mula menunjukkan ketakutan dan kebimbangannya,” katanya lagi. – Roketkini.com