Berita

13 rekod tanda kasih sayang kepada negeri Pulau Pinang

Sempena ucapan bagi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, esok; Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut menyenaraikan 13 perkara yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri, sejak menerima mandat pada 5 Mei 2013.

Dengan ucapan bertemakan ‘Kami Sayang Pulau Pinang’, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri itu, atas peluang untuk berkhidmat dan memimpin Pulau Mutiara.

“Kami sayang Pulau Pinang dan bersama-sama rakyat negeri ini, kami telah mencatatkan 13 rekod unik dalam Dewan Undangan Negeri Ke-13 seperti berikut,” ujarnya, dalam sidang media sesudah mesyuarat ke-215 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

13 perkara tersebut adalah:

Negeri berintegriti dan bersih dengan pengisytiharaan aset oleh ahli pentadbiran negeri yang dicerminkan melalui lebihan Belanjawan tahunan setiap tahun, di mana “keuntungan terkumpul” bagi sepuluh (10) tahun berturut-turut adalah sebanyak RM719.3 juta, jauh melebihi prestasi 50 tahun di bawah pemerintahan Kerajaan lama iaitu sebanyak RM373 juta.

Pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% dan merupakan negeri yang mempunyai jumlah hutang yang terendah di Malaysia iaitu sebanyak RM62.06 juta pada 2017.

Berjaya menjadikan Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai negeri terkotor di Malaysia atau ‘Pulau Pinang Darul Sampah’, kepada antara bandaraya yang paling bersih di antara negara-negara ASEAN.

Satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah mengenakan catuan air, dan kami memberikan jaminan tidak akan berlaku catuan air untuk sepuluh (10) tahun akan datang. Pada masa yang sama, rakyat Pulau Pinang juga dapat menikmati kadar tarif domestik air terendah di Malaysia dengan kadar bayaran 32 sen setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama, berbanding dengan kadar yang dikenakan di Negeri Johor iaitu RM1.32 bagi jumlah yang sama.

Satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak pernah menebang hutan simpan kekal walaupun seinci dalam tempoh sepuluh (10) tahun ini, berbanding dengan negeri-negeri lain yang telah menebang 544,011 hektar hutan simpan kekal mereka.

Negeri Berkebajikan dengan pemberian wang tunai melalui pelbagai program rakyat dengan perbelanjaan melebihi RM412.6 juta dan juga menghapuskan miskin tegar.

Negeri Keusahawanan dengan jumlah pelaburan meningkat 90%, pertambahan penerbangan baru dan penerbangan terus daripada Doha, Hanoi, Ho Chi Minh dan Hainan, telah mendorong bilangan pelancong meningkat kepada lebih 100% berbanding Kerajaan lama.

Pulau Pinang mencatatkan kadar kitar semula tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 38% berbanding dengan kadar kitar semula negara iaitu sebanyak 22%.

Pulau Pinang adalah di antara negeri yang paling selamat di Malaysia dengan pemasangan hampir 1,000 buah CCTV di seluruh negeri.

Memberikan peruntukan tahunan untuk sekolah-sekolah agama dan ibunda, serta memperluaskan pendidikan STEM dan juga Revolusi Industri 4.0, termasuk pembinaan Perpustakaan Digital yang pertama di Malaysia di kawasan Pulau dan Seberang Perai.

Berjaya mentransformasikan projek yang gagal di bawah pentadbiran lama seperti Bukit Bendera, Pusat Konvensyen SPICE, pemulihan projek perumahan terbengkalai Taman Majestic dan bangunan KOMTAR kepada projek berjaya.

Membina 25,555 buah rumah kos rendah (RM42,000) dan rumah kos sederhana rendah (RM72,500) iaitu lima (5) kali ganda lebih banyak daripada jumlah 5,154 buah rumah yang dibina oleh Kerajaan lama.

Memartabatkan Islam dengan meningkatkan peruntukan Hal Ehwal Agama Islam sebanyak 84% serta peruntukan kepada agama-agama lain dengan mengiktiraf statusnya.

“Kami percaya bahawa masih terdapat banyak lagi urusan serta kerja yang menanti untuk disempurnakan. Akan tetapi, telah tiba masanya untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat semula,” tambah beliau.

“Kami menghormati Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan prinsip demokrasi, dengan menyerahkan balik kepada rakyat Pulau Pinang untuk menentukan sama ada mahu memilih kami semula sebagai Kerajaan Negeri ataupun parti lain sebagai Kerajaan baru.

“Kami akan akur dan menghormati apa jua keputusan rakyat dalam Pilihanraya Umum Ke-14 yang bersih,” jelas Guan Eng. – Roketkini.com