Rencana

Dua gergasi berdamai, lutut siapa menggeletar

Biduk lalu, kiambang bertaut.

Mungkin pepatah Melayu itu paling sesuai menggambarkan puncak perdamaian dua gergasi politik yang sekian lama berseteru dan kembali berpadu tenaga mencapai satu tujuan Malaysia baru.

Tidak siapa pernah menyangka tindakan berlengah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk meluluskan penggunaan logo Pakatan Harapan membuka laluan baru semua komponen HARAPAN menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia telahpun diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad pada siri jelajah HARAPAN yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Menurut Mahathir, HARAPAN sudah menduga akan wujud halangan untuk mendaftarkan HARAPAN sebagai gabungan rasmi namun itu bukanlah jalan buntu.

“Tak boleh guna simbol Pakatan Harapan, tidak boleh menghalang kita guna satu simbol untuk empat parti.

“Bukan mudah nak suruh ahli dalam Pakatan Harapan menggugurkan simbol mereka. DAP sudah menggunakan simbol roket sejak berpuluh tahun lamanya.

“Kita bersetuju keempat parti hanya menggunakan satu simbol. Dengan segala sukacita, bahawa dalam PRU-14 keempat parti kami akan guna satu simbol iaitu Parti Keadilan Rakyat,” kata Mahathir.

Bagaimanapun, persetujuan semua komponen HARAPAN menggunakan logo PKR semakin memberi tekanan yang semakin kuat kepada Barisan Nasional (BN).

Mereka justeru terpaksa mencipta dongeng baru melaga-lagakan penyokong Anwar dan Mahatir kononnya bekas Perdana Menteri itu kini ‘mempergunakan’ logo PKR setelah sejak sekian lama berseteru dengan Anwar.

MCA malah cuba menjaja propaganda kononnya DAP telah menggadaikan prinsipnya apabila memilih untuk bertanding dengan menggunakan logo PKR.

Bukan sahaja itu, pihak-pihak yang diberi makan Barisan Nasional turut cuba mengelirukan orang ramai dengan mendakwa kononnya pimpinan DAP akan terpaksa lompat parti untuk bertanding menggunakan logo PKR.

Mereka barangkali lupa bagaimana Zulkifli Nordin, bertanding di Shah Alam dalam PRU ke-13 dengan menggunakan logo dacing Barisan Nasional, walaupun tidak menyertai mana-mana parti komponen gabungan tersebut.

Wakil-wakil PSM, Dr Nasir Hasim dan Dr Jeyakumar, turut bertanding di DUN Kota Damansara dan Parlimen Sungai Siput dengan menggunakan logo PKR pada PRU ke-13, tanpa perlu ‘lompat’ menyertai parti tersebut.

Apa yang BN menggelabah sangat?

Mengapa mereka terlalu gusar HARAPAN menggunakan logo PKR? Bukankah ROS sendiri yang melambat-lambatkan pendaftaran HARAPAN? Nah, sekarang rasakan akibatnya. – Roketkini.com