Berita

DUN Pulau Pinang dibubar esok

Lanjutan pembubaran Parlimen pada Sabtu lalu oleh Datuk Seri Najib Razak, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri dibubarkan esok, 10 April 2018.

“Pada pagi ini saya telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas di Seri Mutiara berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

“Saya bersyukur Tuan Yang Terutama Tun telah memberikan perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri yang akan berkuatkuasa pada 10 April 2018.

“Saya telah membuat syor yang serupa kepada Mesyuarat EXCO sebentar tadi, yang mana telahpun meluluskannya sebulat suara. Surat pembubaran akan dihantar kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang oleh YB Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri pada hari ini untuk pembubaran hari esok.”

Demikian kenyataan rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar hari ini.

Beliau membuat pengumuman terbabit seusai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kali yang ke-215 sejak 5 Mei 2013.

“Semua Ahli EXCO termasuk saya, serta barisan Ex-Officio yakni YB Setiausaha Kerajaan Negeri; YB Pegawai Kewangan Negeri dan YB Penasihat Undang-undang Negeri; ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Pulau Pinang, kerana memberikan kami peluang untuk memimpin Pulau Pinang dan berkhidmat untuk rakyat,” ujar beliau yang juga Setiausaha Agung DAP. – Roketkini.com