Penggunaan logo PKR yang disetujui bersama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan lebih meyakinkan pengundi terhadap perpaduan semua empat parti politik Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Cadangan supaya PKR, AMANAH dan BERSATU bertanding menggunakan logo bersama HARAPAN manakala DAP kekal menggunakan logo roket bukan satu pilihan, kerana kita mesti dapat menyakinkan pengundi dengan mesej bahawa semua empat parti bersatu sebagai satu kuasa politik,” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas luahan hati veteran dan pengasas DAP, Dr Chen Man Hin yang menzahirkan kesedihannya terhadap keputusan DAP menggunakan logo bersama.
Kit Siang berkata, perasaan itu bukan sahaja dirasai Dr Chen malah turut dikongsi bersama seluruh pemimpin, penyokong dan anggota parti.
Meskipun keputusan ini paling memeritkan katanya, DAP perlu berbuat demikian demi memperlihatkan kesatuan dan kesediaan bersama menyelamatkan tanah air daripada gejala kleptokrasi.
“Kami mahu memastikan bukan sahaja calon individu dan DAP boleh menang pada pilihan raya umum ke-14, kami juga ingin memastikan semua calon HARAPAN dan semua empat parti komponen membentu kerajaan,” kata beliau.
Idea penggunaan logo bersama tercetus setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih gagal meluluskan gabungan rasmi HARAPAN sekaligus logo rasmi HARAPAN.
Ketakutan Barisan Nasional (BN) semakin nyata apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibubarkan buat sementara di saat akhir tarikh pengumuman pembubaran Parlimen Jumaat lalu. – Roketkini.com