Rencana

Peristiwa yang akan mengubah sejarah

Beberapa perkembangan penting telah berlaku dalam masa beberapa hari lalu yang berkemungkinan mengubah sejarah negara kita.

Pada 5 April, Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah “membubarkan” Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pada 6 April parti-parti Pakatan Harapan (PH), iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM telah mengumumkan secara rasmi penggunaan simbol PKR sebagai lambang tunggal PH untuk pilihan raya umum ke-14.

Pada hari yang sama Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April.

Dengan itu kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang mandat dan wujud sebagai kerajaan sementara atau “caretaker government” sahaja.

Pada 8 April, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kenyataan peribadi yang sekali gus mencampakkan beliau ke dalam gelanggang politik.

Menurut laporan yang tular di Internet, beliau telah membuat “kenyataan politik” yang antara lain ditujukan kepada Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad. Boleh baca lanjut di sini.

Keputusan ROS, Surayati binti Ibrahim, dicabar oleh kepemimpinan PPBM dan peguam-peguam mereka. Mereka mengambil pendirian arahan ROS tidak jelas dan tidak sah.

Justeru itu PPBM akan terus berfungsi seperti biasa sambil menunggu hasil rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zabid Hamidi, dan keputusan Semakan Perlembagaan (Constitutional Review) yang mereka failkan di mahkamah.

Perintah ROS berbunyi: “Dengan ini diperintahkan bagi sementara supaya pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas dibubarkan mulai dari tarikh perintah ini.”

Ikut kefahaman PPBM dan panel peguamnya, perintah itu adalah sementara. Dalam bahasa Inggeris “temporary order”. Perintah sementara itu pula merujuk kepada pendaftaran PPBM.

Mengikut pengertian umum atau semantik, pendaftaran sesebuah pertubuhan hanya boleh digantung atau dibatalkan. Tetapi dalam surat ROS itu pendaftaran PPBM “dibubarkan”.

Berkorban Demi Rakyat

Dalam perhimpunan raksasa PH di Pasir Gudang, Johor pada Jumaat malam, Dr Mahathir mengumumkan logo PKR sebagai lambang tunggal PH untuk PRU ke-14 ini.

Pengorbanan besar dan langkah berani oleh parti-parti PH menyetujui satu lambang bersama adalah bukti konkrit iltizam mereka menyelamatkan negara dan rakyat jelata daripada kerajaan kleptokrasi Umno/BN.

Yang menakjubkan adalah parti-parti PH secara pantas dan satu hati mengetepikan egoisme dan keindividuan dengan menawarkan hanya satu lambang kepada pengundi.

Pastinya satu badai emosi yang hebat telah berlaku kepada sebuah parti lama seperti DAP dalam mengambil keputusan untuk tidak menggunakan simbol roket di Semenanjung. Lambang itu telah mereka gunakan sejak PRU 1969.

Namun begitu kepemimpinan PH tidak menolak kemungkinan pelbagai alasan dan sekatan akan dibuat oleh tali barut, aparatus dan “apparatchik” kerajaan bagi menyukarkan penggunaan simbol tunggal itu.

Mereka tahu logo tunggal akan memudahkan pengundi membuat pilihan dan dengan itu memperkukuhkan peluang PH meraih sokongan rakyat jelata.

Dari Istana Ke Arena

Tindakan TMJ meredah masuk ke arena politik telah menjadi tular (viral) dan mencetuskan reaksi massa di kalangan penggiat media sosial.

Saya rasa saya tidak perlu mengulas lanjut hal ini selain mengatakan bahawa garis yang memisahkan raja dan rakyat jelata sebenarnya amat tipis kerana raja juga adalah manusia.

Mitos raja dari kayangan tidak lagi dihayati oleh generasi muda khasnya dan rakyat jelata amnya. Bagi mereka cerita Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun adalah cerita penglipur lara semata-mata.

Sesiapa sahaja, sama ada anak raja atau si papa, kalau dia meredah masuk ke gelanggang politik maka dia mestilah bersedia ditendang terajang.

Dalam dunia digital, sukar bagi sesiapa pun – termasuk raja dalam istana – berlindung di sebalik tembok undang-undang dan adat resam jika mereka memilih untuk terjun ke gelanggang politik.

Rakyat jelata tidak sebodoh yang dianggap oleh para pembesar Umno/BN dan kesetiaan mereka kepada raja bukan emosi menggila tetapi berlandaskan perlembagaan negara.

Wallahuaklam. – Roketkini.com

Diterbitkan terlebih dahulu di laman blog beliau: http://kadirjasin.blogspot.my/2018/04/peristiwa-yang-akan-mengubah-sejarah.html