Berita

Selangor pamer integriti, Azmin serah kereta rasmi setelah DUN dibubar

Berbeza dengan amalan pemimpin Barisan Nasional (BN), kepimpinan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menyerah semula kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Penyerahan kembali kenderaan rasmi Kerajaan Negeri oleh Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dan Exco memperlihatkan integriti hasil prinsip urus tadbir yang telus, untuk tidak menggunakan harta kerajaan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

“Selepas menyerahkan kunci kereta secara rasmi kepada kerajaan negeri, MB Azmin berkata beliau akan mengambil Grab untuk pulang ke rumah,” menurut Twitter seorang wartawan.

Menurut kemaskini Twitter dan Facebook Azmin, beliau dan exco menyerahkan kenderaan rasmi itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Mengikut undang-undang, dengan pembubaran sesebuah DUN, seorang menteri besar dengan sendirinya menjadi “menteri besar sementara”, sehinggalah kerajaan baru dibentuk dan ketua eksekutif baru dilantik.

Pada tahun 2013, Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyerahkan kembali kereta kerajaan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Exco, Chow Kon Yeow berkongsi gambar berhimpit-himpit dalam kereta persendirian untuk pulang ke rumah masing-masing.

DUN Pulau Pinang akan dibubarkan esok, 10 April. Ketua Menteri dan anggota Exco dijangka mengembalikan kereta rasmi masing-masing pada hari Rabu. – Roketkini.com