Berita

Tak perlu tukar parti untuk guna logo PKR – Saifuddin Abdullah

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Saifuddin Abdullah memberi penjelasan tentang kekeliruan yang cuba ditimbulkan pihak-pihak tertentu tentang penggunaan logo PKR sebagai simbol bersama dalam pilihanraya akan datang.

“Semasa program perhimpunan Jelajah Harapan di Pasir Gudang, Johor, pada 6 April 2018, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa semua calon HARAPAN, sama ada untuk Parlimen atau DUN di Semenanjung, akan bertanding dalam PRU14 dengan menggunakan satu logo, iaitu logo PKR

“Berikutan dengan pengumuman tersebut, timbul pertanyaan, adakah calon-calon yang bukan anggota PKR perlu menjadi anggota PKR terlebih dahulu sebelum dibolehkan bertanding menggunakan logo PKR,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

“Dalam PRU yang lalu, contohnya, ada calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding menggunakan logo Keadilan. Calon tersebut kekal anggota PSM,” jelas beliau.

Menurut Saifuddin lagi, SPR sebenarnya tidak mensyaratkan calon yang menggunakan logo PKR mesti di kalangan anggota PKR.

Katanya, apa yang diperlukan oleh SPR hanyalah surat daripada presiden PKR yang mengesahkan seseorang calon itu adalah calon PKR.

Dalam PRU14, calon-calon DAP, Amanah dan PPBM kekal keanggotaan mereka dalam parti masing-masing.

“Mereka menggunakan logo PKR melalui surat pengesahan yang ditandatangani oleh Presiden PKR, yang terlebih dahulu menerima pencalonannya daripada Presiden parti masing-masing.” – Roketkini.com