Berita

Dakwaan Rafidah, Najib tak berani jawab

Perdana Menteri Najib Razak terus berdiam diri disebalik dakwaan oleh bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung tiga soalan melibatkan penswastaan 40,000 hektar tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara kepada sebuah syarikat milik tiga individu.

Soalan yang dibangkitkan Rafidah itu sebaliknya dibalas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mendakwa kononnya bekas Ketua Wanita UMNO itu membuat kenyataan tidak benar.

Bagaimanapun dalam kenyataan terbaru semalam, Rafidah mencabar pihak yang menolak dakwaan itu supaya mendedahkan kertas mesyuarat kabinet berhubung perkara terbabit.

“Kamu boleh tanya para menteri kabinet. Ramai yang sudah lupa, tetapi mendedahkan kertas kabinet akan menjelaskan isu ini dan membentangkan faktanya,” katanya lapor Malaysiakini.

Rafidah yang memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika era Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu mendakwa, cadangan penswastaan pada 2008 itu telah pun diluluskan dan dilaksanakan.

Beliau menggesa Najib menjawab beberapa persoalan yang timbul.

“Saya agak ragu dan telah bertanya kepada Datuk Seri (Najib), dalam mesyuarat tersebut mengapa diswastakan kepada syarikat yang tidak langsung diketahui rekodnya.

“Mengapa tidak diswastakan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang boleh bergabung dengan syarikat-syarikat besar, yang ada rekod prestasi yang terbukti.

“Jawapan Datuk Seri kepada saya, dan disambut oleh PM Abdullah ialah, kita akan bawa masuk LTAT kemudian. Tiada seorang pun menteri lain menyoal Datuk Seri,” kata soal Rafidah dalam muat naik di status Facebook semalam. – Roketkini.com

Kredit foto: Malaysiakini