Berita

Sukarkan pengundi, SPR terus jadi boneka kerajaan kleptokrat? – Rara

Pengumuman tarikh pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jelas telah dirancang bagi menyusahkan dan mengurangan peratusan keluar mengundi kerana diadakan pada hari bekerja, kata calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dun Ketari, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara.

“SPR sepatutnya bertindak sebagai badan bebas yang membantu memudahkan rakyat Malaysia untuk keluar mengundi.

“Adakah SPR mahu terus menerus dilabel sebagai boneka?” soal beliau mengulas kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah hari ini yang mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Menurutnya, penetapan tarikh pengundian pada 9 Mei (Rabu) akan menyukarkan pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang menjalankan tanggungjawab mereka.

“Perkara ini sudah pasti akan menyukarkan para pengundi luar terutama para perantau yang terpaksa memohon cuti dan pulang jauh ke kampung halaman masing-masing terutama pengundi-pengundi di Semenanjung yang merantau ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya.

“Apa perlunya menyusahkan rakyat sendiri dengan menetapkan tarikh pengundian pada hari bekerja iaitu Rabu?

“Kenapa tidak ditetapkan lebih awal iaitu pada hari Sabtu bagi pengundian awal dan hari Ahad bagi pilihan raya umum?” soal Rara.

Katanya, perkara itu juga akan menganggu proses dan ketelusan perjalanan pilihan raya kerana waktu bekerja akan memberi kesan kepada agen pengundian dan pengiraan undi (PACA) yang kebanyakannya terdiri daripada orang awam yang bekerja.

“SPR telah dipertanggungjawab untuk menetapkan tarikh penting bagi rakyat Malaysia membuat pilihan penting demi masa depan negara, tetapi satu hari yang penting dalam masa satu penggal itu pun seakan digunakan bagi keuntungan rejim kleptokrat dan menyusahkan rakyat.

“SPR seperti tidak bijak didalam membuat keputusan sepenting ini walaupun selepas 13 kali menguruskan Pilihanraya,” kata beliau.

SPR juga sebelum ini katanya jelas telah dipergunakan oleh Barisan Nasional (BN) dalam isu persempadan semula yang memihak kepada Najib Razak.