Berita

Tahniah BN ciplak idea, cadangan Pakatan Harapan – Biro Buruh DAP

Pengumuman manifesto Barisan Nasional (BN) mendapat pelbagai reaksi dan sindiran yang antara lain didakwa ‘menciplak’ cadangan daripada Manifesto Pakatan Harapan (Buku HARAPAN).

“Biro Buruh DAP mengucapkan ‘tahniah’ kepada BN kerana ‘menciplak’ beberapa cadangan yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan khusus untuk kaum pekerja di negara ini.

“’Terima kasih’ yang tidak terhingga kerana meniru cadangan dalam manifesto Pakatan Harapan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dan memperkenalkan pas pengangkutan awam,” kata Naib Pengerusi Biro Buruh DAP Amran Ahmad Nor.

Menurut Amran, pihaknya tidak ada masalah sekiranya BN meniru idea dan cadangan HARAPAN asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat khususnya kaum pekerja yang kian terhimpit dengan kos sara hidup yang cukup membebankan.

Katanya, BN tidak perlu menunggu untuk meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat dalam tempoh lima tahun kerana janji BN untuk mengekalkan GST sudah cukup untuk menjanjikan kenaikan kos sara hidup di masa akan datang.

“BN tidak perlu memberikan alasan untuk tidak menyegerakan pelaksanaan gaji minimum itu kerana BN sudah cukup terkenal dalam memberikan alasan untuk mewajarkan tindakan mereka walaupun tahu rakyat kian susah.

“Sebagai contoh, ketika kerajaan Pakatan Harapan Selangor mahu memberikan air percuma kepada rakyatnya, BN kata Selangor akan bankrap kerana berbuat demikian.

“Sudah 10 tahun beri air percuma, Selangor tidak bankrap pun,” katanya lagi. – Roketkini.com