Berita

Guan Eng serah semula kenderaan rasmi, naik bas ke pejabat. Najib bila pula?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seluruh menteri kabinet Barisan Nasional (BN) dicabar supaya memulangkan kenderaan rasmi mereka kepada Ketua Setiausaha Negara, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain itu, beliau turut berharap negeri-negeri lain juga akan mengikuti contoh Pulau Pinang dan Selangor memulangkan aset itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri masing-masing.

Kata Guan Eng, walaupun berstatus kerajaan sementara, tugas dan urusan pentadbiran akan diteruskan seperti biasa.

“Walaupun kami kini adalah kerajaan negeri sementara, kami ikut konvensyen dan akan meneruskan kerja-kerja rutin dan pentadbiran kami.

“Kuasa kini dipulangkan kepada rakyat, kami harap negeri-negeri lain juga akan mengikuti contoh Pulau Pinang dan Selangor dalam memulangkan aset rasmi mereka kepada sekretariat negeri masing-masing.

“Bagi kerajaan persekutuan, kami gesa PM sementara dan menteri kabinetnya untuk bukan sahaja mengembalikan kereta rasmi mereka tetapi juga jet dan helikopter,” kata Lim.

Menjawab soalan pemberita bagaimana ahli exco akan ke pejabat, Guan Eng berkata “Kami akan naik bas percuma Rapid Penang”.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Komtar hari ini selepas menyerahkan semula 12 kenderaan rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus. – Roketkini.com