Berita

‘BN senang hati kalau rakyat tidak pulang mengundi’

Sikap negatif yang ditunjukkan pemimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) seolah-olah ‘tidak menggalakkan’ rakyat negara ini pulang membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei hadapan menunjukkan wujudnya kebimbangan di kalangan mereka.

Perkara ini jelas dapat dilihat daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilapor media sebelum ini.

Menurut calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Ayer Hitam, Liew Chin Tong, kenyataan Zahid pada Jumaat lalu bahawa rakyat Malaysia di Singapura tidak perlu pulang mengundi pada PRU14 amat dikesali.

“Jika benar ada kemungkinan majikan Singapura tidak mahu memberi cuti kepada pekerja Malaysia pada 9 Mei depan, Zahid sebagai pemimpin kerajaan sementara sepatutnya berani dan tegas meminta kerjasama negara jiran untuk membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi,” katanya dalam kenyataan.

Chin Tong berkata, Zahid tidak boleh lepas tangan dengan hanya berkata, “Jika majikan Sijngapura tidak izinkan, maka saya fikir perkara yang baik adalah jangan balik mengundi.”

“Ini jelas tidak bertanggungjawab dan mencerminkan rasa takut di kalangan pemimpin BN,” kata beliau.

Beliau turut mengkritik Nur Jazlan yang cuba membangkitkan hujah-hujah lemah kononnya mengajak pengundi pulang mengundi adalah “muslihat” pembangkang.

“Dia juga menentang usaha syarikat-syarikat penerbangan menawarkan kemudahan penukaran tiket serta tambang murah untuk membolehkan pengundi pulang mengundi.

“Persoalannya, mengapa Zahid dan Nur Jazlan takut sangat jika pengundi Malaysia pulang mengundi pada 9 Mei depan?” soal Pengerusi DAP Johor itu.

Jelasnya, perkara paling ditakuti oleh pemimpin UMNO-BN ialah kebangkitan rakyat Malaysia khusunya pengundi Melayu yang semakin menjauhkan diri dari parti yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat itu.

“Mereka mula panik dan takut pengundi Melayu tidak akan memilih mereka lagi.

“Mereka tahu krisis ekonomi, tekanan kos sara hidup dan sikap tidak peduli pimpinan Najib menyebabkan orang Melayu marah terhadap BN.

“Mereka juga amat takut apabila tsunami politik di kawasan bandar pada PRU 2008 dan PRU 2013 akan merebak ke kawasan luar bandar dan separa bandar seluruh negara.

“Mereka tahu jika rakyat semua kaum di Malaysia bangun menentang pentadbiran Najib melalui peti undi, ia akan menyebabkan berakhirnya era BN,” kata Chin Tong lagi. – Roketkini.com