Berita

SPR patut pertahankan demokrasi, bukannya BN – Loh Sze Yee

Pengarah Pendidikan Politik DAP Perak Loh Sze Yee hari ini menyeru supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ‘pulang ke pangkal jalan’ dan bertanggungjawab kepada rakyat untuk mempertahankan demokrasi dan bukan mempertahankan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kenyataan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang dilapor media baru-baru jelas menunjukkan BN telah mempergunakan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk menang.

“Beliau berkata selepas persempadanan semula, BN bukan sahaja akan menang di kawasan sedia ada di Perak malah akan juga menang di Sepetang dan Changkat Jering.

“Ini jelas menunjukkan bahawa secara tidak langsung, penafian pemimpin BN dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selama ini adalah satu sandiwara semata mata,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penentuan kawasan pilihan raya oleh SPR hanya mewujudkan jurang perbezaan yang amat ketara.

“Dengan mengambil perbandingan kerusi negeri N22 Jalong yang mempunyai seramai 29,673 hampir sama bilangan pengundi di kawasan parlimen P55 Lenggong yang merupakan kubu kuat BN dengan pengundi seramai 29,835.

“Jika dilihat dari segi geografi, pekerjaan penduduk serta taraf hidup masyarakat, kedua dua kawasan tersebut hampir sama tetapi di kawasan BN ianya kerusi parlimen dan pada masa sama di Jalong ianya cuma kerusi negeri,” kata Sze Yee.

Bagaimanapun penyandang DUN Jalong itu berkata, isu persempadanan semula dan penentuan hari pengundian pada Rabu, 9 Mei 2018 cuma akan menaikan kemarahan serta semangat rakyat untuk berubah.

“Kami yakin kini jumlah pengundi yang menyokong Pakatan Harapan (PH) sudah melepasi garisan 60% daripada rakyat Malaysia.

“Masyarakat dan kawasan yang dahulunya kubu BN kini semakin ramai menaiki gelombang tsunami rakyat Malaysia untuk menukar kerajaan BN sedia ada,” kata beliau berdasarkan maklumbalas memberangsangkan rakyat. – Roketkini.com