Berita

Tuduh DAP ‘penjajah’, Khaled Nordin hina kecerdikan rakyat Johor

Membuat dakwaan jahat menuduh DAP sebagai ‘penjajah baru’ hanya merendah-rendahkan tahap kecerdikan rakyat dan menggambarkan ketakutan sebenar Barisan Nasional (BN) terhadap angin perubahan yang sedang melanda seluruh negara.

“DAP membantah dan mengutuk kenyataan Menteri Besar Sementara Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berbaur perkauman, menimbulkan kebencian dan bersifat berita tidak benar, apabila menuduh DAP sebagai penjajah baru.

“Saya ingin mengingatkan Khaled bahawa sejarah Malaysia adalah kisah perjuangan rakyat pelbagai kaum menentang penjajah untuk memerdekakan negara kita daripada cengkaman pihak asing. Ya, semua kaum bangkit melawan penjajah,” tegas calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Beliau berkata demikian menyanggah kenyataan penyandang Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam yang menuduh DAP hanya berpura-pura baik untuk merampas kuasa Melayu dan ingin campurtangan urusan Islam seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah British.

Pengerusi UMNO Johor itu membuat dakwaan tersebut ketika merasmikan merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor dan Pelancaran Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor di Baru Pahat  semalam.

Menurut Shu Qi, dakwaan Khaled itu bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga biadab apabila menyamakan DAP dengan penjajah.

“Kenyataannya juga menghina minda warga Johor, terutamanya orang Melayu, seolah-olah mereka tidak cerdik dan akan mudah percaya apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin UMNO seperti beliau.

“Mungkin Khaled lupa bahawa tokoh Johor, Dato’ Onn Jaafar, merupakan wira Melayu menentang penjajah yang sudi bekerjasama dengan semua kaum.

“Sedangkan Khaled masih berperangai seperti pecacai UMNO yang mencipta fitnah baru terhadap DAP.

“Sebenarnya, kita tahu Khaled, UMNO dan Barisan Nasional semakin panik apabila melihat gelombang kebangkitan orang Melayu menentang pemimpin beliau, iaitu Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroninya, yang menjerumuskan negara dalam krisis ekonomi dan perpecahan rakyat,” kata beliau.

Shu Qi berkata, pemimpin UMNO-BN sedar bahawa DAP kini bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ramai lagi tokoh Melayu dalam Pakatan Harapan.

“Fitnah “penjajah” mencerminkan betapa takutnya Khaled setelah sedar rakyat sedang berubah arah untuk menyokong Pakatan Harapan.

“Semoga Khaled sedar hakikat ini, dan berhenti daripada bermain politik kotor seperti menyebar fitnah dan mengapi-apikan perkauman,” katanya lagi. – Roketkini.com