Berita

DAP persoal kenapa syarikat China dapat pelepasan GST

Perakuan Jabatan Kastam berkenaan pelepasan cukai GST kepada syarikat China Communications Construction Company (CCCC) yang terlibat dalam projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion menimbulkan persoalan besar.

“Kenapa rakyat Malaysia, syarikat tempatan dan kerajaan negeri sekalipun terpaksa menanggung GST sedangkan syarikat asing mendapat pelepasan GST?”

Demikian persoalan ditimbulkan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

“Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Subromaniam Tholasy, pelepasan GST kepada syarikat negara China tersebut adalah kerana projek ECRL membabitkan kepentingan awam.

“Berdasarkan alasan tersebut, maka kerajaan pusat juga patut memberikan pelepasan GST kepada projek-projek awam dan perkhidmatan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah tentu melibatkan kepentingan awam,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Kata Steven lagi, sekiranya syarikat China yang mendapat untung membina projek mega di negara kita, dan juga menggaji pekerja asing dari China dengan alasan ‘penguasaan bahasa’ boleh mendapat pelepasan GST, maka kerajaan pusat patut memberikan pelepasan GST dan insentif cukai yang lain kepada syarikat-syarikat tempatan agar mereka mengambil pekerja tempatan dan menaikkan gaji minima kepada RM1,500.

“Dengan alasan yang sama, kerajaan pusat juga patut memberikan pelepasan GST kepada projek-projek perumahan mampu milik,” tambahnya. – Roketkini.com