Berita

Hadi dinasihat henti berkhayal

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai berkhayal apabila menuduh wujudnya usaha DAP kononnya mahu ‘merobek’ Perlembagaan kata tokoh Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

Aziz menegaskan, tidak wujud sebarang usaha DAP untuk menjejaskan Perlembagaan dan melemahkan kedudukan agama Islam serta Raja-Raja sebagai ketua agama Islam katanya ketika dihubungi Roketkini.

“Nampaknya itu hanyalah igauan atau khayalan bekas ahli parlimen Marang dan UMNO yang sentiasa bercakap mengenai apa yang mereka dakwa usaha DAP untuk mengkristiankan Malaysia dan memansuhkan kedudukan Islam.

“Sebagaimana yang tertera dalam Buku Jingga 2013 dan manifesto PH 2018, DAP komited untuk mempertahan dan mendaulatkan perlembagaan dan segala isi kandungannya.

“Ini merangkumi kedudukan Raja-Raja, Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa Melayu- bumiputera dan seterusnya,” kata bakal calon DUN Tebing Tinggi, Perak itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hadi yang dilapor media mendakwa kononnya wujud agenda DAP untuk merobek perlembagaan, mengaitkan sepucuk surat yang menyeru supaya penganut Kristian melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Apa yang jelas ialah paderi berkenaan, sebagaimana rakyat Malaysia lain yang prihatin dengan masa depan negara, ialah membuat perubahan ke arah yang lebih baik khususnya menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sinonim dengan UMNO-BN

“Bekas Ahli Parlimen Marang itu sepatut bersama dengan gerakan massa yang disokong oleh rakyat itu dan bukan melakukan sesuatu yang memberi laluan dan talian hayat kepada UMNO-BN yang sedang nazak dan menunggu masa untuk tumbang,” katanya. – Roketkini.com