Berita

Padam lampu tempat ceramah, BN Johor tak ‘gentleman’

Forum anjuran Pakatan harapan di R&R Dato Sukiman, Parit Botak, Semarang; dalam kawasan Parlimen Ayer Hitam, Johor semalam terpaksa dibatalkan gara-gara gangguan bekalan elektrik yang ‘luar biasa’.

Padahal, baru sahaja dua hari lalu, lampu di tapak berkenaan menyala terang-benderang. Malah para pekedai masih berniaga sehingga lewat malam.

Anehnya, malam semalam, hampir kesemua lampu di sekeliling kawasan tersebut dipadamkan, sebaik sahaja menghampiri masa forum itu sepatutnya diadakan.

Forum bertajuk ‘Umno kalah, tergugatkah Melayu’ yang sepatutnya bermula jam 9 malam itu, menampilkan calon DAP DUN Paloh, Sheikh Omar Ali; bersama-sama peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan; dan Pengerusi Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar.

Penceramah jemputan terpaksa menunggu di dalam gelap, bersama penduduk setempat yang hadir untuk mendengar perbincangan tersebut.

“Saya percaya pihak lawan cuba sabotaj aktiviti yang dianjurkan oleh PH,” kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

“Saya berharap pihak lawan pilihanraya ini adalah satu pertandingan yang adil dan bersih.”

“Datuk Samsol pernah kata, tidak memberi saya masuk ke kawasan-kawasan melayu. Saya tidak tahu adakah kedua-dua ini (dengan forum hari ini) berkaitan. Saya minta pihak lawan, Wee Ka Siong bersama dengan Datuk Samsol, kita mesti ada satu ‘gentleman agreement’ antara dua-dua pihak (BN dan PH).”

Beliau yang juga calon Parlimen Ayer Hitam, mengharapkan kempen di kawasan terbabit boleh dijadikan contoh tauladan di seluruh negara.

“Kita hanya ingin berkempen secara adil,” tambahnya, yang sebelum ini menang bergaya di kawasan Parlimen Kluang. – Roketkini.com