Berita

“PRU14 adalah era kebangkitan orang muda” – Phoong Jin Zhe

Di saat ramai teman-temannya berhijrah untuk mencari kehidupan baru dan rezeki di kota-kota besar di Semenanjung Malaysia, malah ke luar negara, dia memujuk diri untuk percaya dan menaruh harapannya kepada tanah air.

Lahir dan membesar dari sebuah keluarga miskin di Lido, Phoong Jin Zhe, 29, anak tempatan yang dilahirkan di Kota Kinabalu ini memiliki bakat kepimpinan, idealisme dan cita-cita tinggi buat Sabah dan golongan muda khususnya.

Menurut Phoong yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ginjer’, penglibatannya dalam arena politik telah banyak memberi kesempatan untuk lebih meneliti dan menyelami denyut nadi kehidupan masyarakat khususnya golongan muda.

“Pendapatan mereka tidak meningkat, kos sara hidup melambung dan ramai tidak mampu membeli rumah. Faktor ini telah menyebabkan fenomena penghijrahan orang muda ke luar negara kerana gagal mendapatkan pekerjaan dan upah yang selayaknya.

“Akhirnya, orang muda tiada pilihan lain melainkan meninggalkan tanah air ini untuk mencari peluang yang lebih baik,” katanya kepada Roketkini.

Bakal calon DAP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Luyang itu percaya, kunci utama yang mampu merubah keadaan ini ialah melalui kesungguhan politik yang mampu dicapai melalui peti undi.

“Saya percaya PRU14 adalah era kebangkitan orang muda!

“Pilihan raya kali ini adalah tentang masa hadapan orang muda. Saya akan bersama anda dan anak-anak anda memperkukuhkan kuasa orang muda, untuk membawa perubahan di tanah air kita, untuk membawa pulang harapan kepada negara demi masa depan generasi akan datang,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memiliki visi untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Bandaraya Kota Kinabalu dengan mencadangkan agar kerajaan menyediakan perkhidmatan bas-bas awam moden dan membina Bas Transit Pantas (BRT).

Pada PRU13, DUN Luyang menyaksikan kemenangan DAP dengan majoriti 8,676 undi membelakangkan tiga pesaing lain iaitu Barisan Nasional, STAR dan SUPP dengan jumlah pengundi seramai 20,119 orang.

Latar belakan pendidikan dan politik

Phoong Jin Zhe merupakan pemegang Ijazah Bersekutu Kewartawanan & Perhubungan Awam, Kolej Universiti New Era.

Kerjaya politik dan kepimpinannya digilap sejak diberi kepercayaan sebagai Pengarah Publisiti DAP Sabah pada PRU13

Selepas pilihan raya, beliau berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Ahli Parlimen Sandakan pada masa yang sama diberi dukungan sebagai Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah dan Setiausaha Publisiti DAP Sabah.

Pada 2015, beliau dilantik sebagai Pengarah Dasar Awam Pemuda DAP (DAPSY) disusuli jawatan Koordinator DAP Luyang pada tahun 2016.

Selain memegang jawatan rasmi, Jin Zhe banyak menulis dan melakukan penyelidikan ke luar negara seperti Taiwan, Australia dan Singapura.

Deklarasi Phoong Jin Zhe

Luyang merupakan kawasan penempatan dan komersil paling padat di Kota Kinabalu. Sehubungan itu, pembinaan sistem pengangkutan awam moden adalah keperluan mendesak dan penting. Saya secara giat mempromosikan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan supaya membina kemudahan infrastruktur pengangkutan awam di jalan-jalan utama dalam kawasan Luyang, termasuk khidmat bas percuma seperti di Pulau Pinang dan Selangor.

Koordinasi dan dialong melibatkan golongan peniaga dan penduduk untuk membina tempat letak kereta bertingkat di Foh Sang; mencari penyelesaian terbaik dan mempromosikan Kawasan Perniagaan Foh Sang sebagai kawasan warisan kebudayaan, sama seperti Ipoh Concubine Lane atau Penang Armenian Street.

Menambah baik Klinik Kesihatan Luyang supaya pesakit tidak perlu lama menunggu dan meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Melaksanakan pengisytiharan harta tahunan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri; menganjurkan pertemuan dan dialog tahunan antara penduduk dan Kerajaan Tempatan serta menggalakkan ketelusan, keterbukaan dan politik baru.

 Menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri  sebagai mewakili suara golongan muda; memperjuangkan peluang pekerjaan dan gaji yang lebih baik. – Roketkini.com