Berita

Bukan masanya balas dendam tapi bina semula negara – Lim Kit Siang

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang menegaskan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah masa terbaik untuk membina semula negara dan mengukuhkan perpaduan rakyat pelbagai suku bangsa negara ini.

Katanya, rakyat negara ini harus diberi peluang menyokong kerajaan baru untuk menyelamatkan Malaysia dari kleptokrasi dan untuk menjadi sebuah negara yang bersatu padu, demokratik, adil dan hebat.

“Ini bukan masa untuk membalas dendam dan pemikiran yang tidak baik.

“Kita mesti memulakan pembaharuan untuk memulihkan kemerdekaan, kecekapan dan profesionalisme institusi kebangsaan yang dicemari oleh kesilapan lalu.

“Mereka yang tidak melanggar undang-undang dan tidak menyalahgunakan kuasa tidak perlu takut. Ini adalah masa untuk perpaduan dan perdamaian negara,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, seluruh rakyat Malaysia termasuk yang menentang HARAPAN diseru turut serta dalam perjalanan baru negara menghadapi sebarang dugaan dan cabaran mendatang.

“Rakyat Malaysia, termasuk mereka yang menentang Pakatan Harapan dialu-alukan untuk menyertai perjalanan baru yang mencabar untuk menetapkan semula dasar dan arah pembinaan negara.

“Perkara ini boleh dilakukan dengan sokongan penuh rakyat terhadap visi dan manifesto Pakatan Harapan,” katanya lagi. – Roketkini.com