Berita

Chow Kon Yeow pikul amanah KM Pulau Pinang

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima di hadapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada pukul 11.10 pagi di Seri Mutiara hari ini.

Chow, 60 yang juga Ahli Parlimen Tanjong dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru selepas Pakatan Harapan memenangi 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Hadir pada majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Majimor Shariff.

Selain itu, isteri Chow, Tan Lean Kee, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew Gek Cheng serta pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri hadir sama lapor Bernama.

Pada PRU14, Chow menang di DUN Padang Kota dengan majoriti 7,808 undi selepas memperoleh 9,278 undi menewaskan calon BN, H’ng Khoon Leng (1,470 undi) dan calon Parti Bersama Malaysia (MU) Goh Saik Wei (71 undi).

Chow turut menang di kerusi Parlimen Tanjong dengan majoriti 29,599 undi selepas memperoleh 34,663 undi menewaskan calon BN Ng Siew Lai yang mendapat 5,064 undi. – Roketkini.com