Berita

‘Saya orang Malaysia’: Lim Guan Eng berjiwa patriotik

Pengakuan bakal Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang lebih selesa dikenali sebagai orang Malaysia merupakan tauladan baik pemimpin berjiwa patriotik.

“Saya minta maaf, saya tidak anggap diri saya sebagai seorang Cina. Saya orang Malaysia,” kata Guan Eng mengulas soalan wartawan yang membangkitkan selang tempoh 44 tahun pelantikan Menteri Kewangan berketurunan Cina di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika diumumkan ke jawatan itu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini. Selain Guan Eng, Dr Mahathir turut mengumumkan Hj Mohamad Sabu sebagai calon Menteri Pertahanan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Menteri Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, beliau akan menumpukan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk membantu rakyat secara keseluruhannya.

Setiausaha Agung DAP itu turut mengumumkan untuk menyemak semula semua kontrak yang tidak menguntungkan rakyat dilakukan kerajaan BN sebelum ini.

“Kami akan memastikan hak rakyat, peluang pekerjaan dan perniagaan mereka akan dilindungi. “Ia dalam bentuk pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mengekalkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sudah tentunya harga bahan api,” jelasnya lagi. Roketkini.com